Alexis Sanchez. FOTO Agensi
Alexis Sanchez. FOTO Agensi
Agensi

LEGENDA Brazil, Ronaldo menawarkan Alexis Sanchez peluang untuk kembali semula ke saingan bola sepak Sepanyol bersama Real Valladolid seterusnya menamatkan musim malang di Manchester United dan Inter Milan.

Penyerang Chile, menghabiskan masa semusim dipinjamkan ke kelab Serie A dari United tapi dijangka meninggalkan kelab pada musim panas ini selepas menempuhi tempoh sukar di Old Trafford.

Sanchez yang kembali cergas selepas berehat tiga bulan kerana mengalami kecederaan pergelangan kaki dan bersedia untuk beraksi buat skuad kendalian Antonio Conte apabila Inter memulakan kembali kempen Serie A berdepan Sampdoria pagi esok.

Dia berharap melengkapkan perpindahan tetap di Inter musim panas ini tetapi, jika gergasi Itali itu tidak rela melaburkan wang terhadap pemain berkenaan, Ronaldo memberitahu Real Valladolid sangat berbesar hati untuk membawa pemain itu beraksi di kelab berkenaan.

Bercakap menerusi perbualan di Zoom, legenda Brazil berkata: "Alexis Sanchez sudah berjaya di mana dia pergi. Dia mempunyai kualiti yang tinggi. Jika dia gagal di Inter, Valladolid akan membuka pintu buatnya."

Ronaldo, yang menjaringkan 59 gol dalam 98 penampilan di Inter, memiliki 51 peratus saham di Real Valladolid pada September 2018 namun terdapat dakwaan dia sudah memiliki lebih 80 peratus saham kelab terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 9:04 PM