PEMAIN Pahang, Dickson Nwakaeme (tengah) melepasi kawalan dua pemain Perak di Stadium Darul Makmur. - FOTO Muhd Asyraf Sawal
PEMAIN Pahang, Dickson Nwakaeme (tengah) melepasi kawalan dua pemain Perak di Stadium Darul Makmur. - FOTO Muhd Asyraf Sawal
Asrol Awang


PAHANG mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Perak 3-0 dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Kejayaan mengutip enam mata maksimum di laman sendiri itu mencapai misi utama skuad kendalian Dollah Salleh.

Pada perlawanan itu, tuan rumah terlebih dahulu menguji kubu lawan apabila bola tendangan Lazarus Kaimbi melintasi gawang di sebelah kiri penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy seawal minit keempat.

Begitu juga rembatan penyerang import The Bos Gaurus, Ronaldo Henrique sedikit tersasar di sebelah kanan walaupun penjaga gol Tok Gajah, Helmi Eliza Elias sudah pun tertewas pada minit ke-30.

Namun, lima minit sebelum berakhir aksi separuh masa pertama, tandukan pemain pertahanan, Herold Goulon yang menerima hantaran Nor Azam Azih meletakkan tuan rumah mendahului 1-0.

Bersambung babak kedua, Perak yang ketinggalan tampil dengan aksi lebih bertenaga untuk mencari gol penyamaan. Bagaimanapun, skuad bimbingan Mehmet Durakovic terus tertekan apabila pemain import Pahang, Saddil Ramdani menjaringkan gol kedua buat pasukannya pada minit ke-67.

Pada minit ke-81, Kaimbi menjaringkan gol ketiga sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya Pahang untuk mengutip tiga mata di tempat sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 10:58 PM