Pemain pertahanan Cancelo (kiri) dan Danilo. FOTO Agensi
Pemain pertahanan Cancelo (kiri) dan Danilo. FOTO Agensi
Reuters

JUVENTUS melengkapkan perjanjian bersama Manchester City untuk membawa pemain pertahanan Danilo ke Turin dan sebagai pertukaran dengan pemain pertahanan kanan Joan Cancelo menurut kenyataan kedua-dua kelab berkenaan semalam.

Juventus berkata mereka sudah menandatangani pemain Brazil, Danilo dengan kontrak lima tahun bernilai sekitar 37 juta Euro (RM174.4 juta) manakala Manchester City mengesahkan permintaan terhadap pemain kebangsaan Portugal, Cancelo.

Menurut Juventus, juara Inggeris itu akan membayar mereka 65 juta Euro (RM306.33 juta) untuk mendapatkan Cancelo.

Cancelo, 25, menghabiskan satu musim di Juventus, membantu pasukan itu memenangi kejuaraan utama Serie A buat kali kelapan. Dibesarkan di Benfica, dia pernah beraksi untuk Valencia dan Inter Milan.

“City adalah kelab yang hebat, dengan pengurus yang bijak dan saya berbangga untuk berada di sini,” kata Cancelo.

“Semua perkara mengenai mereka sangat mengagumkan saya, dari kemudahan, sehinggakan corak permaianan mereka,” tambahnya.

“Saya sentiasa berusaha meningkatkan mutu permainan dan memenangi trofi dan saya percaya boleh melakukan di sana.”

Cancelo beraksi 14 kali untuk Portugal di bawah kendalian Nelson Semedo yang sering memberikan tugas di posisi pertahanan kanan kepadanya.

Danilo, antara pemain dalam skuad Piala Dunia Brazil tahun lalu, membuat 34 penampilan di Liga Perdana Inggeris dalam dua musim di Manchester City. Dibesarkan di America Mineiro, pemain berusia 28 tahun pernah beraksi buat Santos, Porto dan Real Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 7:45 AM