GAMBAR Al-Sultan Abdullah (tengah) yang dikongsi FAM di Facebook. FOTO facebook FAM
GAMBAR Al-Sultan Abdullah (tengah) yang dikongsi FAM di Facebook. FOTO facebook FAM
Syazwan Msar


SEPANJANG tiga dekad, Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah banyak berkorban untuk meningkatkan melonjakkan imej bola sepak negara di persada antarabangsa.

Sepanjang tempoh itulah, baginda menggalas pelbagai jawatan di dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bermula dengan Ahli Majlis, Naib Presiden dan Timbalan Presiden sebelum menduduki kerusi selaku pemimpin nombor satu badan induk berkenaan.

Malah, baginda juga pernah mencatat sejarah sebagai individu kedua yang berjaya menduduki kerusi jawatankuasa eksekutif Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah yang menjadi Naib Presiden FIFA dari 1982 hingga 1990.

Berkongsi pengalaman ketika di bawah kepimpinan baginda, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan Al-Sultan Abdullah sebagai tokoh yang mengamalkan prinsip demokrasi dalam membuat keputusan.

“Baginda mengamalkan prinsip keterbukaan dan demokratik sepanjang memimpin FAM serta menekankan tanggungjawab secara kolektif. Baginda terlalu cintakan bola sepak. Baginda sememangnya bercita-cita menyandang jawatan dalam FIFA sejak dulu lagi,” kata Hamidin dalam kenyataan media menerusi laman sosial Facebook FAM, semalam.

Dengan corak kepemimpinan diiringi semangat kesukanan tinggi, baginda dipilih bukan saja menjadi Presiden FAM (2014-2017), bahkan juga Naib Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) (2002-2015) dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA pada (2015-2019).

“Impian itu menjadi kenyataan dalam mesyuarat agung AFC di Bahrain pada 30 April 2015, apabila baginda bersama Presiden Persatuan Bolasepak Jepun (JFA), Kohzo Tashima terpilih menjadi dua ahli dari Asia mewakili suara benua itu di FIFA.

“Sebagai Setiausaha Agung FAM waktu itu, saya dan beberapa rakan dalam Exco FAM turut sama melihat kejayaan baginda. Ia adalah kenangan cukup manis,” katanya.

Memulakan kepemimpinan dalam bola sepak sebagai Presiden PBNP pada 1984, seterusnya Presiden Seumur Hidup PBNP sehingga 2005, baginda menjadi Naib Presiden FAM sebelum perlembagaan FAM dipinda pada 1992 untuk mewujudkan dua kerusi Timbalan Presiden.

Baginda menjadi Timbalan Presiden FAM dari 1992-2007, kembali semula memegang jawatan itu pada 2010-2014 sebelum bergelar Presiden dan meletak jawatan pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 6:30 AM