PENG Soon-Liu Ying atasi beregu Korea pada pusingan kedua hari ini. — FOTO bwfbadminton.org
PENG Soon-Liu Ying atasi beregu Korea pada pusingan kedua hari ini. — FOTO bwfbadminton.org
Ferzalfie Fauzi


BEREGU campuran negara membuktikan mereka berada di kelas tersendiri apabila tiga gandingan layak ke suku akhir Terbuka Indonesia di Jakarta, hari ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mengetuai kemaraan apabila menumpaskan Seo Seung Jae-Chae Yujung dari Korea Selatan pada pusingan kedua di Istora Gelora Bung Karno.

Peng Soon- Liu Ying yang diletakkan selaku pilihan kelima menang 21-19, 21-15 dalam tempoh 44 minit.

“Saya dan Peng Soon amat berpuas hati dengan prestasi kami hari ini dan harap mampu mengulanginya esok.

KIAN Meng-Pei Jing turut layak ke suku akhir Terbuka Indonesia. — FOTO Luqman Hakim Zubir
KIAN Meng-Pei Jing turut layak ke suku akhir Terbuka Indonesia. — FOTO Luqman Hakim Zubir

“Sebelum ini memang kami melakukan persediaan khusus untuk Terbuka Indonesia dan ia ternyata berbaloi,” kata Liu Ying yang bergerak secara profesional bersama Peng Soon sejak hujung tahun lalu.

Terdahulu satu lagi pasangan negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menempah slot ke suku akhir selepas membenam cabaran beregu Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Yeng Suet 21-15, 21-14.

Mereka akan berdepan gandingan suami isteri, Chris Adcock-Gabrielle Adcock dari England esok.

Sementara itu, Goh Soon Huat-Shevon Lai tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan beregu tuan rumah yang juga pilihan keenam, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelleb Widjaja 21-15, 21-18.

Bagaimanapun, cabaran beregu wanita negara, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen berakhir selepas tumpas kepada pilihan keenam dari Korea Selatan, Lee So Hee-Shin Seung Chan 21-19, 12-21, 10-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 7:53 PM