KIAN Meng, Pei Jing kini di tangga ke-14 ranking kelayakan Olimpik.
KIAN Meng, Pei Jing kini di tangga ke-14 ranking kelayakan Olimpik.
Ferzalfie Fauzi

JIKA tahun lalu mereka tidak dipandang dan seakan 'dipinggirkan' peminat badminton apabila mempamerkan prestasi buruk namun sekarang gandingan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing sedang mendahului untuk kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. Berdasarkan kedudukan terkini dikemaskini Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Kian Meng-Pei Jing di tangga ke-14 ranking kelayakan Olimpik dan mendahului gandingan senegara seperti Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Selepas melalui tiga kejohanan membabitkan pungutan mata ke Olimpik, Kian Meng-Pei Jing mengumpul 10,993 mata.

"Kita sudah memasuki fasa separuh tahun dan secara berterus terang, saya bersama Kian Meng tidak pernah membayangkan akan berada di kedudukan sekarang," kata Pei Jing. Ujarnya, walaupun berehat panjang tanpa sebarang kejohanan, mereka tidak mahu mengimbas kembali aksi terdahulu selepas mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia dan final Terbuka Singapura.

"Ini semua meningkatkan keyakinan kami dan sudah mula membayangkan aksi sulung di Olimpik. Kami dahagakan keputusan cemerlang, kami mahu menang dan mengumpul sebanyak mungkin mata," kata pemain kelahiran Pahang itu.

Menurut Pei Jing, peluang sekarang terbuka dengan Peng Soon-Liu Ying dan Soon Huat-Shevon juga berada dalam perlumbaan ke Olimpik namun mereka juga mengimpikan hasrat berkenaan sejak zaman kanak-kanak lagi.

"Kami bukan hanya mahu mengekalkan prestasi tapi bermain dengan lebih baik, kami memburu kedudukan lapan terbaik," katanya yang akan bekerja keras bersama Kian Meng selepas ini untuk bermain di tiga kejohanan berturut-turut, Terbuka Indonesia (16-21 Julai), Jepun (23-28 Julai) dan Thailand (30 Julai -4 Ogos).

Mereka yang berada di kedudukan ke-17 dunia kali terakhir beraksi di kejohanan antarabangsa ialah di Terbuka Australia bulan lalu namun tersingkir di pusingan kedua. Sejak dari itu mereka memberikan fokus sepenuhnya dalam latihan dan mengakui ia tidak menjejaskan rentak mereka walaupun berehat panjang.

Di Terbuka Indonesia minggu depan, Kian Meng-Pei Jing akan memulakan kempen menentang wakil China, Lu Kai-Chen Lu di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 10:54 PM