Agensi/Esme Jo

PEMINAT Manchester United masih tidak dapat berhenti memuji kehebatan bekas bintang David Beckham ketika pemain legenda itu membuat penampilan semula menentang legenda Bayern Munich di Old Trafford, Manchester, semalam.

Beckham berada dalam kalangan pemain superstar United beraksi pada perlawanan reunion bersejarah bersama skuad memenangi kejayaan Treble pada 1999.

Malah, perlawanan itu menjadi detik ulangan paling diingati pada final Liga Juara-Juara (UCL) yang dimenangi United di Barcelona.

Apa yang menariknya, ramai peminat kelab terbabit mengatakan Beckham, 44 masih mampu mempamer aksi cemerlang dan layak disenaraikan dalam skuad United sekarang.

Rembatan Beckham memastikan kemenangan besar United di Old Trafford. FOTO REUTERS
Rembatan Beckham memastikan kemenangan besar United di Old Trafford. FOTO REUTERS

Pemain jersi angka 7 itu menjaringkan salah satu gol menerusi rembatan kencang melepasi jangkauan penjaga gol, Hans-Jorg Butt ketika menang 5-0 ke atas Bayern Munich.

Hadir ceria menyaksikan pasukan lamanya beraksi adalah bekas pengurus legenda, Sir Alex Ferguson dan penolong pengurus, Steve McClaren.

Bagaimanapun, musim ini skuad terbabit tidak lagi seperti dulu.

Musim ini kelab itu gagal menyerlah dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan terlepas slot kelayakan UCL menyebabkan peminat United menamatkan kempen dengan moral rendah dan tidak kurang mempertikaikan keupayaan bintang sekarang.

Ketika United tercari-cari pemain sayap pada jendela perpindahan musim panas, peminat di media sosial membandingkan kemampuan Beckham dengan pemain dalam skuad Ole Gunnar Solskjaer sekarang.

Ashley Young adalah paling kerap mendapat kecaman.

Ramai mempertikaikan kemampuannya terutama hantaran serta lorongannya yang merudum sejak beberapa tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 2:34 PM