Choong Hann tidak rela skuad negara tewas besar. FOTO NSTP
Choong Hann tidak rela skuad negara tewas besar. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


BIARPUN mustahil tetapi Wong Choong Hann tidak rela melihat skuad negara tewas besar.

Begitulah harapan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu menjelang pertemuan menentang gergasi dunia, China pada aksi pertama peringkat kumpulan Piala Sudirman, Ahad ini.

Sebaliknya, bekas pemain perseorangan negara itu mahu setiap pemainnya sekurang-kurangnya mampu memberikan saingan sekaligus membuktikan Malaysia bukan pasukan belasahan.

Skuad negara diletak dalam Kumpulan 1D bersama-sama China dan India yang akan dihadapi pada Selasa depan.

"Apabila kami berada dalam kumpulan itu, sudah tentu fokus utama untuk mencatatkan kemenangan adalah ke atas India.

"Jadi setiap pemain tidak sepatutnya memulakan saingan bertemu China dengan prestasi buruk," katanya.

Choong Hann berharap menerusi pertemuan dengan juara 10 kali Piala Sudirman itu, skuad negara dapat mencuri mata.

"Di dalam semua bahagian, kami akui memang ketinggalan di belakang China.

"Tapi kami masih mengharapkan akan berlaku kejutan terutamanya dalam acara beregu lelaki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 4:32 PM