CHOONG Hann anggap Indonesia pencabar utama skuad negara.
CHOONG Hann anggap Indonesia pencabar utama skuad negara.
Saiful Affendy Sapran


"SASARAN kami untuk Piala Thomas adalah menduduki tangga teratas peringkat kumpulan dan saya juga mengharapkan pasukan wanita dapat berada dalam kelompok dua pasukan teratas peringkat kumpulan," kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann.

Menerusi undian diumumkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, Indonesia sekali lagi menjadi penghalang utama Malaysia pada Piala Thomas di Aarhus, Denmark bermula 3 hingga 11 Oktober depan apabila skuad negara diundi bersama negara jiran itu dalam Kumpulan A.

Dua tahun lalu di Bangkok, skuad negara gagal melepasi sasaran untuk mara ke separuh akhir selepas tewas 1-3 kepada Indonesia pada aksi suku akhir. Skuad Piala Uber negara pula diundi bersama Korea Selatan, Indonesia dan Australia dalam Kumpulan B.

Choong Hann mengakui Indonesia akan menjadi pencabar utama bagi skuad Piala Thomas manakala untuk Piala Uber pula, beliau menjangkakan Indonesia serta Korea Selatan akan menjadi penghalang dengan dua pasukan teratas bagi kedua-dua saingan itu bakal layak ke suku akhir.

Katanya, Indonesia dilihat mempunyai sedikit kelebihan kerana difahamkan skuad kebangsaan mereka terus menjalani latihan ketika kebanyakan negara melalui perintah berkurung selama beberapa bulan akibat pandemik Covid-19.

"Berdasarkan persiapan, mereka nampak lebih bersedia tetapi kita juga tidak ketinggalan jauh. "Kami masih mempunyai baki lebih sebulan untuk memilih barisan pemain terbaik. Saya rasa ia cukup untuk kami menjalani persiapan lebih rapi lagi," katanya.

Choong Hann berkata, persiapan setiap pasukan pastinya terjejas berikutan wabak Covid-19.

"Saya boleh katakan kami semua berada di kedudukan yang sama. Yang penting adalah bagaimana pemain dapat mengawal tekanan ketika beraksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 9:52 PM