ZOUMA (dua dari kiri) menanduk masuk gol pertama Everton ketika menewaskan Bournemouth, 2-0 pada perlawanan di Goodison Park, malam tadi. FOTO reuters.
ZOUMA (dua dari kiri) menanduk masuk gol pertama Everton ketika menewaskan Bournemouth, 2-0 pada perlawanan di Goodison Park, malam tadi. FOTO reuters.
Agensi

LONDON: Kurt Zouma menjaringkan gol pertamanya buat Everton musim ini bagi membantu pasukannya menewaskan Bournemouth 2-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, malam tadi.

Kedua-dua pasukan turun dengan misi mahu menang dalam perlawanan itu selepas bergelut dengan prestasi tidak menentu musim ini yang menyaksikan Everton hanya menang satu daripada lapan perlawanan terakhir liga manakala Bournemouth hanya melakar satu kemenangan daripada enam aksi terakhir.

Prestasi cemerlang Zouma terutama pada babak pertama perlawanan berjaya mencuri tumpuan selain kelicikan pemain tengah Bournemouth, David Brooks yang melakukan percubaan berbahaya pada minit ke-18.

Bagaimanapun, Everton lebih bernasib baik apabila membuka tirai jaringan menerusi tandukan Zouma pada minit ke-60 selepas pemain antarabangsa Perancis itu menerima hantaran daripada Lucas Digne.

Tuan rumah kemudiannya melengkapkan kemenangan hasil jaringan dilakukan Dominic Calvert-Lewin apabila dia tenang menyempurnakan hantaran rendah Ademola Lookman pada masa kecederaan.

Kemenangan itu menyaksikan Everton melonjak ke tangga ke-10 dengan mengumpul 30 mata, mengatasi Wolverhampton Wanderers dengan kelebihan satu mata di kedudukan ke-11 manakala Bournemouth kekal di tangga ke-12.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 1:27 AM