Pemain Perak, Wander Luiz (kanan) melakukan rembatan dihalang pemain PKNP FC, Mohamad Al-Fateh Mohd Afandi. FOTO NSTP
Pemain Perak, Wander Luiz (kanan) melakukan rembatan dihalang pemain PKNP FC, Mohamad Al-Fateh Mohd Afandi. FOTO NSTP
Shamsul Kamal Amarudin


STRATEGI PKNP FC melakukan kawalan satu lawan satu pada suku akhir pertama Piala FA di Seri Manjung, malam tadi menghalang Perak daripada memperolehi bekalan selesa ke Ipoh.

Jurulatih Perak, Mehmed Durakovic, mengakui anak buahnya sukar `bernafas' dihimpit kawalan ketat pemain PKNP di barisan serangan dan tengah.

Keadaan itu berbeza dengan laluan mudah menyumbat empat gol ke gawang pasukan sama ketika saingan Liga Super di tempat sama, Sabtu lalu.

"Kita tahu bukan mudah terutama selepas menang 4-0 beberapa hari lalu.

Pasukan lawan pasti mahu bangkit mengelak gawang mereka bocor lagi dan kali ini berjaya mengikat kami tanpa jaringan.

"Nyata amat sukar untuk bermain dalam situasi PKNP menggunakan pendekatan `man to man marking', permainan juga kelihatan lebih susah dan agak fizikal," katanya.

Malah, Durakovic mengakui pasukan The Bos Gaurus (TBG) itu seakan kembali mengulangi skrip sama seperti perlawanan terdahulu iaitu banyak peluang dicipta tetapi bola seakan enggan masuk ke dalam jaring.

Beliau bagaimanapun gembira dengan semangat dan usaha ditunjukkan anak didiknya mahu membawa bekalan sekurang-kurangnya satu gol di tempat lawan, namun tidak kesampaian.

Justeru, beliau berharap kecergasan dan fizikal pemain pulih cepat kerana TBG berkunjung ke Shah Alam bertemu pasukan `badi' PKNS, Jumaat ini.

Pengendali PKNP, Abu Bakar Fadzim, mengakui penukaran taktikal satu lawan satu menutup ruang pemain Perak.

Buat masa ini perancangan adalah menerima kunjungan Terengganu pada Sabtu ini pada aksi Liga Super.

"Selepas habis perlawanan dengan Terengganu baru kita buat perancangan menghadapi Perak di Ipoh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 5:08 PM