Abu Bakar mahu PKNP teruskan momentum. FOTO
Abu Bakar mahu PKNP teruskan momentum. FOTO
Shamsul Kamal Amarudin


PKNP FC berharap kemenangan pertama daripada tujuh perlawanan Liga Super dicipta ketika menumpaskan Kuala Lumpur mampu diteruskan khususnya dalam saingan Piala FA dan liga.

Jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, berharap momentum kemenangan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung itu, malam tadi, berterusan apabila bertandang ke Selangor bagi menentang Batu Dua FC, Rabu ini dan Terengganu di Kuala Terengganu, Sabtu ini.

"Musim ini memang rasa tekanan kepada kami terutama apabila terpaksa bertemu pasukan yang berada dalam kedudukan lima terbaik di awal musim.

"Jadi, dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur di gelanggang sendiri, pemain menunjukkan semangat begitu berkehendakkan kemenangan dan dapat menggunakan peluang sebaik mungkin.

"Tiga mata berharga itu akhirnya diperolehi tetapi dapat menjaringkan empat gol memeranjatkan saya dan yang penting gawang kita tidak dibolosi," katanya.

Beliau berkata, kemenangan itu turut dibantu dengan kegagalan pasukan pelawat menggunakan peluang serta banyak melakukan kekasaran yang akhirnya merugikan pasukan itu apabila dua pemainnya diperintah keluar padang.

Justeru, beliau berharap kemenangan itu dapat menjadi motivasi kepada prestasi pasukan yang tidak memiliki pemain 'nama besar' dalam kancah bola sepak tempatan, sebaliknya terus bekerja keras dan memberi peluang kepada pemain muda mencipta nama dalam permainan itu. Katanya, dua perlawanan selepas ini penting untuk menilai konsistensi pemain agar tidak cepat putus asa untuk terus mahu mencetak gol dan kemenangan.

Sementara itu, pengendali Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt, berkata dua kad merah diterima anak didiknya dalam perlawanan itu nyata membunuh terus semangat pasukan itu untuk bangkit semula.

"Selepas dua gol pertama lawan dan satu kad merah diterima pada separuh masa pertama, kami berusaha bangkit semula dengan melakukan penyusunan semula," katanya.

Bagaimanapun, apabila PKNP menjaringkan gol ketiga dan seorang lagi pemain KL diperintah keluar padang, semangat pemain sudah merudum sekali gus memberi peluang pasukan tuan rumah menambah jaringan.

"Tumpuan sekarang ialah untuk memulihkan pasukan bagi menghadapi Bandar Tun Razak FC dalam saingan Piala FA Rabu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 4:53 PM