JDT bakal ke Stadium Perak esok untuk perlawanan Liga Super 2019.
JDT bakal ke Stadium Perak esok untuk perlawanan Liga Super 2019.
Shamsul Kamal Amarudin


KUNJUNGAN Johor Darul Ta’zim (JDT) ke Stadium Perak malam esok pastinya bakal ditunggu dengan penuh ‘dendam’ oleh Perak sekali gus bakal menyaksikan pertembungan menarik kedua-dua pasukan.

Tewas 0-1 kepada pasukan lawan pada perlawanan pembuka musim di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru, Februari lalu, Perak pastinya mahu kekalahan itu ditebus pada pertembungan kali ini.

Tambahan pula, Stadium Perak pernah menyaksikan pasukan tuan rumah meleburkan rekod 25 perlawanan tanpa kalah JDT pada musim 2017/2018.

Berdasarkan prestasi semasa yang menyaksikan pasukan The Bos Gaurus (TBG) itu mengumpul sembilan mata penuh dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super, Perak pastinya mahu Stadium Perak kembali mencatat sejarah meleburkan rekod 18 perlawanan tanpa kalah JDT dalam liga berkenaan musim ini.

Begitupun seperti biasa, pengendali Perak Mehmet Durakovic bersikap merendah diri dan menganggap pertembungan dengan Harimau Selatan itu sebagai saingan amat sengit untuk anak buahnya.

“Apa lagi yang boleh diperkatakan mengenai JDT, mereka adalah pasukan terbaik di Malaysia, menang Liga Super enam musim berturut-turut, mempunyai ramai pemain tempatan dan import yang bagus, jurulatih yang bagus, kami harus menghormati mereka.

“Kami akan cuba beri yang terbaik, Perak akan beraksi dengan permainan bola sepak yang baik, pemain akan beri komitmen 100 peratus untuk perlawanan malam esok, insya-Allah (kami boleh menang), tiada siapa yang tahu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Durakovic bagaimanapun tidak pasti sama ada dapat menurunkan tiga tonggak utama yang disisihkan pada pertembungan kedua Piala FA menentang Pahang, baru-baru ini, yang menyaksikan pasukan pelawat dibedil 3-0.

Katanya, beliau perlu melihat prestasi semasa tiga pemain itu iaitu Ronaldo Henrique Silva, Nazirul Naim Che Hashim dan Amirul Azhan Aznan, sama ada mereka cukup cergas untuk mengharungi 90 minit perlawanan.

Jika kelibat Ronaldo hampir pasti dapat ditagih, aksi dua pertahanan Nazirul Naim dan Amirul Azhan yang dibelenggu kecederaan sebelum ini akan diteliti terlebih dulu.

Dalam pada itu, Durakovic berharap perlawanan esok dapat berlangsung dengan semangat kesukanan tinggi terutama di kalangan penyokong kedua-dua pasukan.

“Kita mahu perlawanan bola sepak menjadi titik penyatuan di kalangan semua peminat dan penyokong mana-mana pasukan, kita perlu memberi sokongan padu kepada pasukan masing-masing dengan semangat kesukanan,” katanya.

Pertembungan Perak dan JDT sebelum ini sering menimbulkan pergeseran antara kedua-dua penyokong sehingga terpaksa menerima kawalan ketat pihak keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 6:46 PM