SKUAD Cheeky Spartan bersama trofi kejuaraan. - FOTO Rosman Shamsudin
SKUAD Cheeky Spartan bersama trofi kejuaraan. - FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 16 (1) muncul juara Kejohanan Ragbi Perempuan Bawah 11 Tahun Terbuka peringkat kebangsaan yang berlangsung di padang SK Slim Village, dekat sini, kelmarin.

Pada perlawanan akhir, pasukan bergelar `Cheeky Spartan' itu menumpaskan SK Meru Dua, Selangor atau `The Pipers' 1-0.

Jurulatih SK Putrajaya Presint 16 (1), Mohd Azli Aziz, 34, berkata, kejayaan itu hasil latihan sistematik dan intensif sebelum menyertai kejohanan itu.

Katanya, sukan ragbi terkenal dengan aksi lasak dan pantas di atas padang namun bagi peringkat sekolah rendah ia lebih memerlukan kekuatan fizikal, mental serta taktikal untuk menewaskan lawan. "Walaupun pasukan ini baru dibentuk tetapi pencapaian sungguh luar biasa terutama komitmen pemain ketika latihan dan kejayaan ini sebagai pembakar semangat pemain untuk menyertai mana-mana kejohanan nanti," katanya ketika ditemui oleh NSTP.

Kira-kira 16 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan anjuran SK Slim Village dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muallim dan Batang Padang.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang.

Turut hadir, Penolong Hal Ehwal Murid PPD Batang Padang, Zailan Zainuddin dan Guru Besar SK Slim Village merangkap pengerusi penganjur, Roslan Lee.

Sementara itu, kategori Plate dimenangi SK Pos Bersih, Perak dan Shield pula dibolot pasukan tuan rumah manakala Bowl dimenangi Rangers FC, Selangor.

Sementara itu, Roslan berkata, kejohanan julung kali diadakan di sekolah itu mendapat penyertaan menggalakkan dalam kalangan sekolah yang mempunyai pasukan ragbi.

Beliau turut kagum melihat semangat pemain yang beraksi dengan penuh semangat kesukanan di samping mempamerkan kekuatan fizikal serta mental di sepanjang kejohanan yang berlangsung sehari itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 5:09 PM