Broncos, Prongoz dan Putat Lions bergambar selepas menjuarai kategori masing-masing pada Kejohanan Ragbi NRDP Broncos 7's Peringkat Kebangsaan 2019 di Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi, Kepala Batas, Kedah. FOTO Izzali Ismail.
Broncos, Prongoz dan Putat Lions bergambar selepas menjuarai kategori masing-masing pada Kejohanan Ragbi NRDP Broncos 7's Peringkat Kebangsaan 2019 di Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi, Kepala Batas, Kedah. FOTO Izzali Ismail.
Izzali Ismail


BRONCOS, Prongoz dan Putat Lions masing-masing muncul juara kategori yang disertai pada Kejohanan Ragbi NRDP Broncos 7's Peringkat Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi, Kepala Batas, Kedah, semalam.

Pada kejohanan ini Broncos dari Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi (SKBT) berjaya menewaskan Prongoz dari Sekolah Kebangsaan Peremba (SKP), 24-17 untuk kategori bawah 12 tahun (B-12) lelaki.

Kategori B-10 tahun lelaki, Prongoz dari SKP pula mengejutkan Broncos dari SKBT, 12-5 manakala kategori B-14 Perempuan, Putat Lions dari Kelab Ragbi Putat Lion menewaskan Tarantula 5-0 dari Sekolah Menengah Taman Awana.

Kejohanan membabitkan penyertaan kira-kira 500 pelajar dan diwakili oleh 36 pasukan yang bertanding merangkumi 16 pasukan (B-12), lapan pasukan (B-10) dan 12 pasukan (B-14) perempuan dari seluruh daerah di Utara dan Selangor.

Jurulatih Broncos, Zumardi Zainal Abidin ceria dengan kesungguhan ditunjukkan pelajarnya yang berjaya menunjukkan bakat mereka.

“Sebagai jurulatih saya berusaha untuk mencungkil bakat mereka. Sokongan moral serta motivasi daripada ibu bapa pelajar itu sendiri turut membantu,” katanya.

Hadiah berupa Piala Pusingan, Piala Iringan dan medal disampaikan oleh Ahli Mesyuarat Majlis Perbandaran Kubang Pasu, Mohd Hairi Mohd Saad dan diiringi oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi Mohd Hadi Saad.

Kejohanan sehari itu dikelolakan di bawah Program Pembangunan Ragbi Kebangsaan (NRDP) dan di bawah penganjuran Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi yang merupakan Sekolah Kluster Kecemerlangan Kebitaraan Ragbi di bawah penyeliaan PTPS ragbi MSSK, AJK ragbi MSSK dan Unit Sukan Jabatan Pendidikan Kedah dan PPD Kubang pasu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 12:50 PM