PEMAIN The King IPRM mempamerkan hadiah dimenangi.
PEMAIN The King IPRM mempamerkan hadiah dimenangi.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Kehebatan pasukan The King dari Institut Perguruan Raja Melewar (IPGKRM) terserlah apabila menewaskan Politeknik Port Dickson (PPD) 14-0, pada final Kejohanan Ragbi 10 Sepasukan Raja Melewar 2014, peringkat Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), baru-baru ini.

Kejohanan edisi keenam di padang Institut Perguruan Raja Melewar (IPRM), Sikamat itu disertai 10 pasukan seluruh negeri ini.

Pengurus pasukan IPRM Nik Muhd Aiman Akif Nik Ayub berkata, pihaknya tidak menyangka prestasi dipamerkan pemain begitu tinggi kerana skuad PPD adalah antara pencabar terkuat kali ini.

Katanya,pemain IPRM berjaya mengimbangi kekuatan lawan dan menyudahkan setiap percubaan dengan jaringan.

“Usaha kami mempersiapkan pasukan selama dua bulan membuahkan hasil dan kejayaan ini amat bermakna kerana mengharumkan nama IPRM.

“Kami akan meneruskan usaha bagi memastikan reputasi IPRM terus kekal sebagai jaguh ragbi,” katanya.

Berikutan kejayaan itu, IPRM membawa pulang trofi, medal dan sijil manakala pasukan lain membawa pulang medal serta sijil yang disampaikan Timbalan Pengarah, Dr Mehander Singh Nahar Singh dan Ketua Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan IPRM, Suraya Bibi A K Bapotti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:07 AM