VIRGIL VAN DIJK
VIRGIL VAN DIJK
AFP

VIRGIL van Dijk kembali ke kelab lamanya Southampton awal pagi Sabtu dengan reputasi sebagai antara pemain paling berpengaruh di Liga Perdana Inggeris dalam perebutan gelaran di antara Liverpool dan Manchester City.

Selain memiliki jentera serangan berbisa, skuad Juergen Klopp itu turut terhutang budi kepada pertahanan Belanda itu yang dibawa masuk dari Southampton 15 bulan lalu dengan bayaran £75 juta (RM403.2 juta), satu angka yang menarik perhatian ramai.

Namun kini pelaburan itu dilihat antara yang paling bijak dalam sejarah Liga Perdana dengan satu detik istimewa Van Dijk ketika menewaskan Tottenham hujung minggu lalu yang menjadi contoh prestasi hebatnya.

Ketika perlawanan terikat 1-1 di Anfield Ahad lalu, Tottenham berdepan aksi dua lawan satu di mana Moussa Sissoko dan Son Heung Min menentang bek tengah Liverpool itu.

Van Dijk mengambil keputusan membiarkan Sissoko memegang bola itu, memaksanya melakukan rembatan yang gagal dilakukan pemain Tottenham, sekali gus memberi ruang kepada Liverpool meledak gol kemenangan pada saat akhir.

“Sudah pasti,” kata rakan sepasukan Andy Robertson ketika ditanya jika ia satu detik yang menunjukkan aksi sebenar Van Dijk.

“Dia membuat keputusan yang tepat. Lihat, kita sudah berada di fasa musim ini di mana kedua-dua pasukan mahu memenanginya. Jika perlawanan ini berlaku pada bulan pertama musim ini, kesudahannya pasti 1-1.

“Namun mereka berjuang untuk tiket ke Liga Juara-Juara dan perlukan tiga mata dan kami juga perlukan tiga mata. Itu sebabnya kami membawa penyerang tambahan dan kami berusaha mendapatkannya dan berjaya.

“Namun situasi seperti itu mungkin boleh berlaku dan kami mungkin agak terdedah di bahagian pertahanan tetapi tiada siapa yang lebih baik untuk menghadapinya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 10:48 AM