MICK Schumacher melengkapkan 56 pusingan pada ujian F1 bersama Ferrari di litar Sakhir, semalam. — FOTO AFP
MICK Schumacher melengkapkan 56 pusingan pada ujian F1 bersama Ferrari di litar Sakhir, semalam. — FOTO AFP
Reuters

MICK Schumacher, anak lelaki juara dunia tujuh kali Michael, melakukan ujian sulung Formula Satu bersama Ferrari di Bahrain semalam dan muncul pemandu kedua terpantas di belakang Max Verstappen dari Red Bull.

Dalam cuaca hujan di litar sama yang mana bapanya menang Grand Prix pertama di Asia Barat bersama Ferrari 15 tahun lalu, Schumacher hanya dibezakan 0.597 saat berbanding pemandu Belanda berusia 21 tahun itu.

Catatan masanya satu minit 29.976 saat dicatat menggunakan tayar lembut C5 dan dia melengkapkan 56 pusingan pada hari yang mana catatan di litar dihadkan oleh hujan lebat pada tengah hari.

“Saya benar-benar seronok hari ini. Ia berasa seperti di rumah sendiri dalam garaj sejak saat pertama dengan ramai orang yang mengenali saya sejak kecil,” katanya.

MICK Schumacher (kiri) kali pertama memandu jentera moden F1. — FOTO EPA
MICK Schumacher (kiri) kali pertama memandu jentera moden F1. — FOTO EPA

Pemandu Jerman berusia 20 tahun itu, yang melakukan penampilan sulung F2 di litar Sakhir hujung minggu lalu dan berakhir di tangga kelapan serta keenam dalam dua perlumbaan, berada di puncak catatan masa dengan berbaki lima minit sebelum dipintas Verstappen.

“Jentera SF90 amat menakjubkan kerana kuasa dimilikinya, tapi ia juga lancar untuk dipandu dan itulah sebabnya saya terlalu seronok,” kata Schumacher.

“Saya kagum dengan cengkaman brek yang dimiliki kereta F1. Bagi saya ia kelihatan anda boleh membrek kemudian dan kemudian tapi kereta tetap akan memberikan tindak balas.”

Juara F3 Eropah itu turut menjalani ujian bersama pasukan Alfa Romeo (sebelum ini Sauber) yang menggunakan jentera Ferrari hari ini.

Ujian semalam adalah pengalaman sulung Mick memandu jentera moden F1, sekalipun dia pernah memandu jentera 1994 Benetton yang menyaksikan bapanya muncul juara dunia di litar Spa-Francorchamps sebelum GP Belgium pada 2017.

Michael Schumacher, yang masih memegang rekod 91 kemenangan GP, menang lima daripada kejuaraannya bersama Ferrari pada zaman keemasan dari 2000 hingga 2004.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 1:41 PM