Pemain tengah Real Madrid Luka Modric. FOTO EPA.
Pemain tengah Real Madrid Luka Modric. FOTO EPA.
Reuters

BARISAN serangan Real Madrid gagal mengisi kekosongan ruang yang ditinggalkan Cristiano Ronaldo, kata Luka Modric.

Pemain tengah Croatia itu berkata, ketika Madrid bakal berdepan perlawanan timbal balik, kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara bertemu Ajax, awal pagi lusa.

Menurutnya juga, pasukannya kurang konsisten dan menjaringkan gol musim ini.

Madrid gagal menjaringkan gol dalam dua perlawanan Clasico menentang Barcelona minggu lalu, disingkirkan dalam saingan Piala Raja Sepanyol dan berada 12 mata di belakang kelab Catalan yang mendahului liga, dengan hanya tinggal Liga Juara-Juara sebagai harapan untuk pasukan itu mengecapi kejayaan.

Ronaldo, penjaring terbanyak sepanjang hayat kejohanan Eropah, meninggalkan pasukan itu untuk menyertai Juventus pada Julai dan Madrid menandatangani penyerang muda, Vinicius Junior dan Mariano Diaz bukan nama besar di posisi penyerang bagi menggantikan penggempur Portugal itu.

“Ketiadaan Cristiano (Ronaldo) adalah sesuatu yang pasti dirasai oleh semua pasukan; untuk mencari pengganti pemain itu adalah amat sukar,” kata Modric.

“Apa yang diberikan kepada kami dan kelab, membuatkan kami merinduinya. Kelab mahukan pemain lain mempamerkan aksi sepertinya, untuk membahagikan tugas di kalangan penyerang bukan perkara mudah.

“Cristiano menjaringkan 50 gol dan kamu tidak boleh mencari seseorang hari ini yang mampu menjaringkan banyak gol seperti itu. Ada di kalangan kami yang harus bergerak ke depan dan tidak menjaringkan 50 gol, apa yang kami perlukan adalah dua atau tiga pemain yang menjaringkan 15, 20 atau 10 gol dan kami tidak ada itu.

“Ia adalah masalah besar kami tahun ini. Sebagai contoh menentang Barca dalam saingan liga kami mempunyai banyak peluang menjaringkan gol dan apabila kami tidak memanfaatkan peluang lawan akan menghukum anda.

“Pasukan sudah mencuba, dan tampak baik, meletakkan sandaran kepada pemain lain seperti Gareth (Bale), (Marco) Asensio, Karim (Benzema); begitu juga dengan kehadiran Mariano dan Vinicius, di sini.

“(Vinicius) beraksi baik pada usianya namun kadang kala perkara tidak berlaku seperti apa yang kita mahukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 10:26 PM