PERLIS antara pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji pemain dan jurulatih musim ini. - FOTO Luqman Hakim Zubir
PERLIS antara pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji pemain dan jurulatih musim ini. - FOTO Luqman Hakim Zubir
Syazwan Msar


DEGIL atau terlupa apabila hanya lima daripada tujuh pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji menyerahkan dokumen kewangan masing-masing selepas tarikh tutup berakhir hari ini.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Operasi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd apabila ada antara pasukan itu tidak mengambil serius dan enggan memberikan kerjasama.

Malah, beliau turut memberi peringatan kepada pasukan itu supaya lebih serius dalam usaha menangani krisis kewangan.

“Seperti semua pasukan itu sedia maklum, hari ini adalah tarikh tutup buat tujuh pasukan itu mengemukakan bukti bayaran yang sudah dibuat dan setakat jam 5 petang hari ini hanya lima pasukan saja menyerahkan dokumen.

“Sekretariat MFL akan membuat semakan lebih terperinci sama ada dokumen yang dihantar itu lengkap seperti yang kami kehendaki tapi dua lagi pasukan setakat ini belum menyerahkan dokumen.

“Kami sudah memberi ruang dan masa secukupnya kepada setiap pasukan mengumpul dokumen dan menyerahkan kepada MFL dan saya percaya semua pasukan sedia maklum dengan peraturan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam memberi tempoh hingga hari ini kepada persatuan bola sepak yang mempunyai masalah tunggakan gaji untuk menyediakan dokumen kewangan.

Pasukan itu adalah FELDA United, Perlis, Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Melaka United.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 9:19 PM