Bergu Campuran Negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, beraksi konsisten di Kejohanan Masters Indonesia.
Bergu Campuran Negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, beraksi konsisten di Kejohanan Masters Indonesia.
Helmi Talkah

 

KUALA LUMPUR: Ketika wakil Malaysia yang lain masih bergelut dengan prestasi tidak menentu, beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying membuktikan sebaliknya apabila terus kekal konsisten susulan kejayaan mara ke suku akhir Masters Indonesia, hari ini.

Pasangan nombor enam dunia itu yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), awal bulan ini mara selepas menewaskan beregu England, Ban Lane-Jessica Pugh 21-13, 21-10 dalam aksi pusingan kedua di Istora Senayan, Jakarta.

Ia adalah kali ketiga berturut-turut Peng Soon-Liu Ying berjaya mara ke suku akhir dalam tiga kejohanan berbeza tahun ini  - Masters Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Pada saingan di Bangkok, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu muncul juara manakala di Kuala Lumpur mereka berjaya hingga separuh akhir.

Walaupun dilihat konsisten dalam saingan awal musim ini namun Peng Soon menegaskan mereka belum berpuas hati lagi kerana percaya mampu menghasilkan pencapaian yang lebih baik.

"Memang gembira dapat mengekalkan konsistensi dalam tiga kejohanan tetapi saya fikir belum cukup lagi dan kami tidak mahu cepat berpuas hati.

"Kami perlu bekerja keras lagi dan kami mahu buktikan mampu menghasilkan keputusan yang lebih baik," kata Peng Soon ketika dihubungi, hari ini.

Gandingan nombor satu negara itu dijangka tidak berdepan masalah mara ke separuh akhir apabila berdepan pasangan England, Marcus Ellis-Lauren Smith pada aksi suku akhir, esok.

Sementara itu, satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut melangkah ke suku akhir selepas menyingkirkan pilihan ketujuh dari England, Chris Adcock-Gabrielle Adcock 21-19, 21-23, 21-7.

Mereka akan membuat perhitungan dengan pasangan nombor satu dunia dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong.

Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia turut mengesahkan tempat ke kelompok lapan terbaik selepas melakar kemenangan ke atas Sitthikom Thammasin dari Thailand 21-13, 21-13 dan akan bertemu wakil Denmark, Anders Anstonsen, esok.

"Ini adalah kali kedua saya menang ke atas Sitthikom, saya bertemu dengannya dua kali dalam tempoh dua minggu ini. Kemenangan ini meningkatkan lagi tahap keyakinan saya.

“Esok saya akan menentang Antonsen, saya perlu kekal fokus dan tidak mahu memberikan tekanan kepada diri sendiri," katanya.

Cabaran Malaysia dalam acara beregu campuran bagaimanapun berakhir selepas wakil tunggal negara yang beraksi di pusingan kedua, hari ini, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin tewas kepada pasangan nombor dua dunia dari China, Li Junhui-Liu Yuchen 13-21, 18-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 6:17 PM