HENDRAWAN (kiri) enggan komen lanjut berkenaan Chong Wei. FOTO/NSTP
HENDRAWAN (kiri) enggan komen lanjut berkenaan Chong Wei. FOTO/NSTP
Ferzalfie Fauzi


KUALA LUMPUR: Jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan enggan memberi komen lanjut berkenaan Datuk Lee Chong Wei yang dijangka turun berlatih ke gelanggang esok, namun dia memberi bayangan perancangan untuk bekas pemain nombor satu dunia itu akan dibincangkan minggu ini.

Menurutnya, setakat ini belum ada perbincangan tentang Chong Wei selepas anak buahnya itu mengakui akan mula turun berlatih di gelanggang bermula esok.

"Setakat ini saya tidak mahu memberi sebarang komen. Mungkin minggu ini kita akan melakukan semua perancangan (mengenai Chong Wei). Sabar ya," kata Hendrawan.

Chong Wei menunjukkan tanda positif selepas pemulihan kanser hidung apabila dilihat mula melakukan latihan ringan di gimnasium Jumaat lalu.

Dia juga dalam keadaan ceria ketika dihubungi minggu lalu dan memberi bayangan sudah tidak sabar untuk menyambung semula latihan selepas berehat panjang.

Pada 22 September lalu, badan induk itu mengesahkan Chong Wei mengidap kanser hidung peringkat awal dan selepas menjalani rawatan di Taiwan dia pulang ke tanah air 7 Oktober lalu sebelum menyambung proses pemulihan.

Chong Wei pada minggu lalu berkata, dia akan kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan memberi bayangan akan menamatkan kariernya di bawah badan induk berkenaan.

Perancangan untuk tahun ini sangat penting buat Chong Wei dengan pusingan kelayakan Olimpik Tokyo 2020 akan bermula pada 1 Mei.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 7:56 PM