CHONG Wei (kiri) dan Lin Dan tidak bermusuh di luar gelanggang. — FOTO Aswadi Alias
CHONG Wei (kiri) dan Lin Dan tidak bermusuh di luar gelanggang. — FOTO Aswadi Alias
AFP

PERSARAAN Datuk Lee Chong Wei bukan saja menamatkan karier hebat jaguh badminton itu tetapi turut mengakhiri perseteruannya dengan pemain sensasi China, Lin Dan.

Kedua-duanya menjadi musuh di gelanggang selama lebih sedekad dan permusuhan itu hanya semakin kendur sejak beberapa tahun terakhir berikutan faktor usia.

Mereka sudah melepasi zaman kegemilangan namun Chong Wei terpaksa berundur selepas disahkan menghidap kanser hidung tahap awal tahun lalu.

Chong Wei yang akan berusia 37 tahun Oktober ini pada sidang media semalam berkata: “Perancangan saya adalah untuk bersara selepas Sukan Olimpik 2020. Saya ambil keputusan ini kerana masalah kesihatan.”

Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu mengharungi sesi rawatan dengan baik tetapi dia tidak menjalani latihan sejak April lalu dan harapannya untuk beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo sukar kerana kedudukan ranking semakin merudum.

Chong Wei ketika ini menduduki ranking ke-191 dunia.

“Lin Dan dan saya adalah musuh di gelanggang tapi di luar kami kawan baik,” kata Chong Wei.

Chong Wei pernah menghuni ranking nombor satu dunia selama 348 minggu tetapi tidak pernah memenangi emas Sukan Olimpik atau Kejohanan Dunia.

Lin Dan pantas memberi reaksi selepas pengumuman Chong Wei menerusi akaun media sosial Weibo: “Saya akan keseorangan turun ke gelanggang dan tiada lagi yang akan menemani saya.”

Chong Wei membalas: “Saya harap anda dapat memenuhi impian untuk beraksi di Olimpik buat kali kelima.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 8:17 PM