Kevin. FOTO NSTP
Kevin. FOTO NSTP
Izzali Ismail


ALOR SETAR : Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tetap dengan pendirian mahu membawa kes Akhyar Rashid ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) seperti sudah dipersetujui sebelum ini walaupun mendapat jemputan berbincang seperti dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam semalam.

Setiausaha Kehormat KFA Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, meskipun pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhasrat memanggil Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) untuk duduk semeja dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah itu, pihak KFA dalam masa sama sudah pun membuat penetapan terhadap hala tuju kes.

"Kalau mahu bincang hal berkaitan perkara lain boleh seperti pengurusan dan perjalanan liga musim ini."

"Tapi untuk membincangkan kes Akhyar kami dah ada ketetapan untuk membawa kes ini ke mahkamah CAS seperti diumumkan sebelum ini.

"Kami mendapat sokongan ramai pihak termasuk penyokong yang menganggap keputusan rayuan ditolak pihak FAM sebelum ini sebagai tidak adil dan perlu menuntut keadilan.

"KFA bagaimanapun sudah mendapat maklumat berkaitan jemputan perbincangan yang dirancang pihak MFL ini. Cuma kami belum pasti sama ada perbincangan yang dimaksudkan MFL ini akan berlangsung di Kuala Lumpur atau Alor Setar." katanya.

Asmirul bagaimanapun turut mempersoalkan kenapa pihak MFL yang mengendali bola sepak Liga Malaysia (Liga M) memanggil untuk mengadakan perbincangan ini sedangkan FAM selalu badan induk bola sepak Malaysia harus bertindak di hadapan.

"Kami juga hairan kenapa MFL yang panggil berbincang kerana FAM merupakan badan induk dan mereka sepatutnya mengetuai hal perbincangan yang dijemput sedangkan MFL berada di bawah FAM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 6:38 PM