AKHYAR Rashid. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
AKHYAR Rashid. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Izzali Ismail


ALOR SETAR: Kontroversi membabitkan Akhyar Rashid semakin panas apabila pemain muda itu tidak menghadiri sesi latihan pasukan Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) Alor Setar petang tadi.

Perkembangan ini dimaklumkan oleh Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Mohd Asmirul Anuar Aris yang sudah menjangkakan ketiadaan Akhyar, walaupun dia sepatutnya bersama-sama rakan sepasukan menjalani sesi latihan pada hari pertama latihan tahun ini.

"Kita sedikit kecewa dan saya sudah dapat jangkakan. Sebelum ini kita tidak ada masalah dengan Akhyar, isu kita ini adalah dengan pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),” kata Asmirul.

"Apapun saya serahkan kepada pihak pengurusan KFA di mana kita akan terus mengikut saluran undang-undang dan peraturan di antara majikan dan pemain. Pihak kami akan bertegas dan konsisten dengan keputusan membawa perkara ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).”

Pihak KFA bagaimanapun tetap menghormati maklum balas daripada pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenaan kes perpindahan Akhyar yang akan dibawa ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atau Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) seperti yang dimaklumkan dalam media rasmi JDT semalam.

"Kami bagi pihak KFA menjunjung kasih hormat di atas pandangan dan pendirian yang dinyatakan oleh pihak baginda. KFA menghormati hak yang ada pada JDT tetapi kami juga mempunyai hak atas apa yang kami perjuangkan dalam isu ini.

"Pengurusan baharu KFA akan mengambil langkah yang lebih profesional dalam hal mengendalikan perjanjian yang dibuat,” katanya.

Berkaitan tabung khas untuk menampung kos perundangan isu Akhyar, Asmirul berkata dia berbincang dengan Presiden KFA Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan akan memaklumkan keputusannya secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 8:28 PM