ASMIRUL mengganggap Akhyar sudah bersama JDT.
ASMIRUL mengganggap Akhyar sudah bersama JDT.
Suzalina Halid


ALOR SETAR: Pintu rundingan dengan mana-mana pihak termasuk Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung kontroversi membabitkan Akhyar Rashid sudah tertutup berikutan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tekad untuk mengheret isu terbabit ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Sambil menzahirkan ucapan selamat maju jaya buat pemain muda itu yang sudah menjalani latihan bersama kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris, berkata proses undang-undang terhadap isu itu akan diteruskan yang kini dalam peringkat lantikan peguam.

"Kita mengucapkan selamat maju jaya kepada Akhyar. Bagi saya dia boleh main dengan JDT tetapi proses undang-undang untuk membawa isu ini ke CAS di Switzerland, akan kita teruskan.

"Kita sudah menutup pintu rundingan untuk kes Akhyar berikutan ia sudah terlambat malah kita sekarang sudah di peringkat melantik peguam dan pihak mereka sedang mengkaji kes ini untuk difailkan, kita akan cuba bawa dalam masa terdekat, " katanya pada sidang media, di sini.

Sebelum ini, MFL berhasrat untuk duduk semeja dengan KFA dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat bagi menyelesaikan kemelut antara KFA dan Johor Darul Ta’zim JDT berkenaan perpindahan Akhyar.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam dilaporkan berkata, isu berkenaan mendapat liputan meluas sehingga menimbulkan kekeliruan dan hanya dengan duduk semeja antara pihak terbabit mampu menyelesaikan masalah itu.

Pada masa sama, Asmirul Anuar turut mempertikaikan tindakan MFL yang tampil ke depan memanggil KFA untuk berunding mengenai isu terbabit dan bukannya FAM sendiri yang juga badan induk dalam sukan bola sepak tanah air. 

Mengulas lanjut, katanya KFA bersedia berunding dengan MFL mahupun FAM berhubung perkara lain secara profesional membabitkan perkara berkaitan penganjuran liga dan aspek teknikal namun bukannya mengenai isu Akhyar.

"Kalau nak bincang soal teknikal, kami terima dengan profesional namun bukannya hal berkaitan Akhyar kerana hanya CAS akan membuat keputusan kelak, " katanya.

Sementara itu, Asmirul Anuar berkata, pihaknya amat menghargai sokongan ditunjukkan persatuan dan peminat bolasepak di seluruh negara terhadap keputusan KFA membawa isu berkenaan ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, ia dibuktikan melalui sumbangan dihulurkan mereka melalui tabung khas yang dilancarkan KFA sebelum ini khusus bagi memungut kutipan bagi menampung kos dalam membawa perkara itu ke CAS.

"Kita jangkakan kos membabitkan lebih RM100,000 bagi membawa kes ini ke CAS namun kita amat terharu dengan komitmen ditunjukkan penyokong sukan ini di seluruh negara malah ada penyokong dari Perak yang menyumbang RM1,000 untuk tabung ini, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 6:13 PM