KETUA Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Kevin Ramalingam. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
KETUA Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Kevin Ramalingam. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Farah Azharie


KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhasrat untuk duduk semeja dengan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat bagi menyelesaikan kemelut antara KFA dan Johor Darul Ta’zim (JDT) berkenaan perpindahan pemain muda Kedah, Akhyar Rashid.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam berkata, isu berkenaan mendapat liputan meluas sehingga menimbulkan kekeliruan dan hanya dengan duduk semeja antara pihak terbabit mampu menyelesaikan masalah itu.

“Perlu ada perbincangan untuk menentukan apa yang betul dan apa tidak kerana sesetengah tindakan tampak seperti lebih kepada mensasikan kenyataan atau reaksi kepada sesuatu berbanding mencari penyelesaian,” kata Kevin.

“Saya harap akan ada perbincangan antara MFL, FAM dan KFA bagi membolehkan kami meneliti secara jelas serta memahami bagaimanana keputusan dibuat daripada membuat kenyataan secara terbuka.

“Kami (MFL) sudah menelitinya dan ia isu yang jelas tetapi dengan sesetengah pihak cuba mensensasikan perkara ini, ia mengelirukan umum dan situasi sebenar tidak dinyatakan.

“Tiada keputusan boleh diambil tanpa mengikut peraturan dan faktanya sudah ada. Untuk bercakap tanpa fakta akan membunuh diri dan tiada keputusan dapat dibuat sebegitu (tanpa fakta). Jadi kami perlu duduk berbincang dan memastikan mereka (KFA) faham.”

Rabu lalu, presiden KFA Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilaporkan berkata persatuan itu hanya akan berpuas hati selepas mendengar keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berkaitan dakwaan strategi ‘pintu belakang’ yang digunakan JDT bagi mendapatkan khidmat Akhyar.

Sebelum iu FAM menolak rayuan KFA dan berpegang kepada keputusan badan induk bola sepak negara itu yang menetapkan pampasan RM75,000 perlu dibayar kepada KFA jika mana-mana pasukan mahu membeli Akhyar selain menebus baki kontrak pemain itu sebanyak RM210,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 8:30 PM