OLE GUNNAR SOLSKJAER
OLE GUNNAR SOLSKJAER
AFP

LONDON: Ole Gunnar Solskjaer hampir pasti menggantikan tempat Jose Mourinho sebagai pengurus sementara Manchester United selepas kelab itu secara tidak sengaja membuat pengumuman dalam laman web rasmi mereka.

Mourinho dipecat semalam selepas hanya dua setengah tahun di Old Trafford dan Red Devils dilaporkan bersedia untuk kembali membawa masuk bekas wira mereka secara sementara.

Solskjaer yang ketika ini membimbing kelab Norway, Molde dilaporkan menjadi calon utama United bagi membimbing pasukan itu menghadapi baki saingan musim ini sementara mereka mencari pengurus tetap selepas tamat saingan.

Walaupun masih belum ada pengumuman rasmi daripada kelab itu tetapi satu video meraikan Solkjaer dapat dilihat di laman web rasmi United sekali gus mengesahkan pelantikannya.

Video itu memaparkan beliau menjaringkan gol kemenangan buat United ketika menewaskan Bayern Munich pada final Liga Juara-Juara 1999 dan diberi tajuk ‘The most famous night of Ole’s career’.

Perdana Menteri Norway, Erna Solberg turut seolah-olah mengesahkan pelantikan Solskjaer menerusi Twitter miliknya dengan menulis: “Hari yang hebat buat bola sepak Norway. Semoga berjaya mengendali Red Devils.”

Solskjaer menjaringkan 128 gol dalam 367 penampilan bersama United sepanjang 10 musim bermain di bawah kendalian pengurus legenda kelab itu, Alex Ferguson yang membelinya dari Molde pada 1996.

Selepas bersara, pemain Norway itu dilantik sebagi bos skuad simpanan United sebelum beliau menyertai Molde sebagai pengurus pada 2010.

Solskjaer turut mempunyai pengalaman membimbing Cardiff City pada 2014 tetapi hanya menang sembilan daripada 30 perlawanan sekali gus tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris. Beliau kemudian dipecat dan kembali ke Molde pada 2015.

Saingan liga di Norway tamat bulan lalu dan hanya akan bermula pada 31 Mac depan dan Solskjaer dijangka tidak menolak peluang bagi mengendalikan kelab besar.

Ironinya, perlawanan pertamanya membimbing United adalah menentang Cardiff, Sabtu ini jika perjanjian dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.

United ketika ini menghuni kedudukan keenam liga dan ia permulaan terburuk dalam tempoh 28 tahun.

Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino dan bekas jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane antara pilihan utama bagi mengendalikan United secara tetap.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 8:36 AM