SOLSKJAER (kanan) cemerlang kendali United. - FOTO Agensi
SOLSKJAER (kanan) cemerlang kendali United. - FOTO Agensi
AFP

MANCHESTER: Ole Gunnar Solskjaer berkata, pemilik kelab Molde berharap dia tidak kembali  ke Norway kerana mahukannya berjaya menjadi pengurus tetap Manchester United.

Solskjaer dilantik pengurus sementara The Red Devils bagi mengharungi baki saingan Liga Perdana Inggeris musim ini, menggantikan Jose Mourinho yang dipecat pada 19 Disember lalu.

United ketika ini difahamkan sedang membuat penilaian ke atas beberapa calon sebagai pengurus tetap kelab itu tetapi pengumuman mengenainya hanya dijangka berlaku selepas tamat saingan musim ini.

Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino difahamkan antara menjadi pilihan utama United selain bekas jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane dan pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone.

Solskjaer yang beraksi bersama United antara 1996 hingga 2007 tanpa berselindung mengakui mahu mengendalikan kelab itu secara tetap.

Katanya, dia mendapat sokongan penuh daripada dua ahli perniagaan Norway, Kjell Inge Rokke dan Bjorn Rune Gjelsten sebagai pemilik bersama Molde.

“Ketika saya menghubungi pemilik dan memberitahu mengenai tawaran diberikan United, dia tahu itu adalah impian saya.

“Dia kemudian berkata pergilah dan menikmatinya. Yang paling penting jangan kembali semula,” kata Solskjaer.

Solskjaer menambah kedua-dua pemilik Molde mengucapkan selamat maju jaya buat dirinya kerana mereka tahu itu sesuatu diimpikannya selama ini.

“Mendapat sokongan daripada mereka sesuatu yang menakjubkan. Jika saya kembali Molde saya akan buat yang terbaik untuk mereka tetapi ia bergantung bila saya akan kembali.

“Ia sangat menakjubkan setakat ini. Diharapkan saya dapat bertemu dengan keluarga saya secepat mungkin dan inilah satu-satunya keburukan kerja ini,” katanya.

Keluarga Solskjaer masih kekal di Norway manakala dia menetap di Manchester bagi memberi fokus mengubah masa depan United.

Dia memenangi lapan perlawanan pertamanya, sesuatu yang tidak pernah dicapai mana-mana pengurus United.

Namun, rekod itu berakhir selepas United sekadar seri 2-2 dengan Burnley, Selasa lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 8:24 AM