GUARDIOLA (tengah) tetap bangga dengan pencapaikan City. FOTO/AFP
GUARDIOLA (tengah) tetap bangga dengan pencapaikan City. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola menegaskan jangkaannya tepat apabila juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu akhirnya tewas musim ini, 0-2 di tangan Chelsea sekali gus tergelincir ke tangga kedua di belakang Liverpool.

Bagaimanapun Guardiola tetap bangga dengan persembahan City dan menggesa anak buahnya mengatasi skuad bimbingan Juergen Klopp, yang mendahului satu mata di depan mereka selepas kemenangan 4-0 di Bournemouth.

“Saya katakan ia tidak akan berlaku. Kami di sini bukan untuk jadi pasukan kebal, kami di sini untuk jadi juara,” kata Guardiola.

“Kami tenang, kami bergerak ke depan, ia sebahagian daripada pertandingan. Tidak ada sukan dalam dunia: tenis, bola keranjang, golf yang ada satu pasukan sentiasa menang. Apabila orang berkata begitu, mereka menjual ilusi.

“Ia sebahagian daripada pertandingan. Anda boleh tewas tapi ia mengenai bagaimana cara anda tewas.”

City turun tanpa kelibat Sergio Aguero yang cedera dan jentera depannya jelas terjejas dengan Raheem Sterling dan Leroy Sane terlepas peluang besar.

Chelsea sebaliknya membuka jaringan menerusi N’Golo Kante yang merembat deras hantaran Eden Hazard sejurus sebelum rehat. Gol kedua Chelsea dijaringkan David Luiz pada minit ke-78.

Guardiola memberi amaran impian City untuk memenangi Liga Juara-Juara buat julung kali musim ini mungkin berakhir dengan cara sama sekiranya mereka tidak belajar untuk menewaskan lawan yang kuat ketika menguasai permainan.

“Itu peringkat Liga Juara-Juara. Mereka kata Man City pasukan pilihan Liga Juara-Juara. Itu yang akan berlaku di peringkat lebih besar, tapi cara kami bermain hari ini amat menakjubkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 11:37 AM