GREALISH (kiri) bersama Erling Haaland meraikan kejayaan mereka merangkul kejuaraan EPL. -FOTO Reuters
GREALISH (kiri) bersama Erling Haaland meraikan kejayaan mereka merangkul kejuaraan EPL. -FOTO Reuters
AFP

Manchester, United Kingdom: Jack Grealish menegaskan bahawa Manchester City kini "tidak akan dapat dihalang" ketika juara Liga Perdana itu meletakkan sasaran untuk merangkul gelaran treble musim ini.

City meraikan kejuaraan kelima mereka dalam enam musim dengan menewaskan Chelsea 1-0 di Stadium Etihad awal pagi tadi.

Namun pasukan Pep Guardiola terlebih dahulu dinobatkan sebagai juara pada Sabtu apabila Arsenal yang menduduki tempat kedua tewas 0-1 di Nottingham Forest.

Selepas mengekori Arsenal untuk sebahagian besar musim ini, City mengalahkan Gunners dengan 12 kemenangan liga berturut-turut untuk merangkul kejuaraan ketiga berturut-turut.

Ditanya penguasaan City ketika mereka tidak tewas dalam 12 perlawanan berturut-turut, Grealish berkata: "Saya pernah bercakap dengan beberapa pemain tidak lama dahulu dan saya berkata, 'Bayangkan jika seseorang akan berkata kepada anda untuk memenangi liga anda perlu pergi dan memenangi 12 perlawanan berturut-turut'.

"Saya tidak mengatakan saya tidak fikir kami boleh melakukannya tetapi ia akan menjadi sukar. Kami mempunyai begitu banyak bakat dalam skuad ini dan saya fikir pada masa ini kami tidak boleh dihalang.

"Ia tidak berhenti di sini, kami masih mempunyai beberapa perlawanan besar yang akan datang."

City menikmati tempoh penguasaan Liga Perdana yang tidak dilihat sebelum ini sejak kali terakhir Manchester United melakukannya dengan memenangi lima gelaran dalam enam musim antara 1996 dan 2001.

Mereka juga kini dalam usaha untuk menjejaki kejayaan treble United pada 1999 dan itu akan menjadikan City sebagai salah satu pasukan bola sepak Inggeris terhebat.

City akan menentang Manchester United pada perlawanan akhir Piala FA di Wembley pada 3 Jun, kemudian menentang Inter Milan dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Istanbul tujuh hari kemudian.

"Kami boleh menikmatinya bersama peminat kami dan memikirkan tentang final Piala FA dan final Liga Juara-Juara. Kami mahu memenangi ketiga-tiganya. Kami perlu banyak bekerja dan akan melakukan yang terbaik untuk mendapatkan trofi itu," kata pemain tengah City, Bernardo Silva.

City tidak pernah memenangi Liga Juara-Juara, kalah pada perlawanan akhir 2021 menentang Chelsea.

Sementara Guardiola sedang mencari mahkota Liga Juara-Juara ketiga dan yang pertama sejak memenanginya bersama Barcelona buat kali kedua pada 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 8:06 AM