HASENHUETTL cuba lonjak Soton. FOTO/AGENSI
HASENHUETTL cuba lonjak Soton. FOTO/AGENSI
Agensi

LONDON: Pengurus baru Southampton Ralph Hasenhuettl enggan memberi jaminan mampu melonjak kelab itu keluar daripada zon penyingkiran Liga Perdana tetapi berkata, beliau sedia menyahut cabaran.

"Jika anda mahu jaminan, anda perlu membeli mesin basuh,” katanya dalam sidang akhbar pertamanya, semalam. “Tidak dalam bola sepak.”

Southampton hanya menang sekali dalam 15 aksi Liga Perdana setakat ini dan menduduki tangga ke-18 selepas tewas kepada Tottenham Hotspur 3-1 semalam dengan Hasenhuettl menyaksikannya di tempat duduk penonton.

Walaupun memiliki banyak peluang di Wembley, pertahanan Southampton sekali lagi mengecewakan dan bekas pengurus RB Leipzig itu yang menggantikan Mark Hughes berkata, beliau kini menumpukan kepada aksi menentang satu lagi pasukan sedang bergelut Cardiff City di tempat lawan esok.

"Sukar tetapi saya tak takut,” kata Hasenhuettl. "Saya perlu meningkatkan prestasi pemain secepat yang boleh terutamanya menstabilkan pertahanan.”

“Sasaran pertama ialah keluar daripada zon penyingkiran dan seterusnya melonjakkan kelab dalam carta liga. Tidak mudah tetapi saya akan berusaha ke arah itu.”

Southampton juga berdepan Arsenal, Huddersfield Town, West Ham United dan Manchester City bulan ini sebelum menentang Chelsea dalam aksi pertama pada 2019, lawan sukar buat pengurus berusia 51 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 8:02 AM