GIROUD meraikan jaringannya ketika berdepan Southampton. -Foto Reuters
GIROUD meraikan jaringannya ketika berdepan Southampton. -Foto Reuters
Reuters

 

CHELSEA memperaga kebangkitan menakjubkan apabila meledak tiga gol dalam tempoh sembilan minit untuk menewaskan Southampton 3-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium St Mary, sebentar tadi.

Kemenangan itu menghidupkan kembali harapan tipis The Blues untuk ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan sementara Saints kekal di zon penyingkiran.

Pemain gantian, Olivier Giroud meledak dua gol buat Chelsea dan Eden Hazard menyumbang satu gol selepas anak buah Antonio Conte itu gagal memperagakan aksi meyakinkan pada separuh masa pertama.

Keputusan itu membolehkan Chelsea merapatkan jurang kepada tujuh mata dengan pasukan di tangga keempat, Tottenham Hotspur yang akan melayan kunjungan Manchester City pada aksi seterusnya.

Southampton dilihat sudah meraih kemenangan yang mampu melonjakkan mereka ke tangga ke-17 liga sekali gus keluar dari zon penyingkiran apabila selesa mendahului dua gol menerusi penyudah Dusan Tadic dan Jan Bednarek.

Namun tuan rumah bergelut untuk mengekalkan kelebihan dan akhirnya tumbang apabila Chelsea mula mengasak pada babak kedua.

Selepas dibolosi tiga gol menentang Chelsea, mereka kini sudah dibolosi tiga gol dalam empat perlawanan liga berturut-turut.

Kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan sekali lagi pada aksi separuh akhir Piala FA minggu hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 10:16 PM