SEORANG penunjuk perasaan memakai jaket kuning bagi membantah kenaikan harga diesel di negara itu. FOTO Reuters
SEORANG penunjuk perasaan memakai jaket kuning bagi membantah kenaikan harga diesel di negara itu. FOTO Reuters
AFP

PARIS: Pertembungan antara Paris Saint-Germain (PSG) menentang Montpellier dalam saingan Ligue 1 di laman sendiri pada Sabtu ini terpaksa ditunda atas permintaan polis, umum kelab itu sebentar tadi.

Mengikut jadual asal, perlawanan itu sepatutnya berlangsung pada jam 4 petang waktu tempatan di Parc des Princes.

Bagaimanapun, sehingga kini, tiada sebarang alasan diberikan berhubung arahan itu, namun difahamkan ia membabitkan aspek keselamatan serta ketenteraman di bandaraya berkenaan.

Ketika ini, Paris dilanda demonstrasi yang berlarutan sejak tiga minggu lalu oleh kumpulan ‘jaket kuning’ yang membantah rancangan kenaikan cukai minyak.

Bantahan itu bertukar menjadi ganas pada Sabtu lalu dengan 412 orang sudah ditahan dalam ketegangan paling teruk dalam tempoh sedekad, di tengah-tengah bandaraya Paris.

Bagaimanapun, kerajaan Perancis dilihat cuba mengendurkan situasi apabila Perdana Menteri, Edouard Philippe menegaskan perancangan harga minyak itu digantung sementara untuk tempoh enam bulan.

PSG kini mendahului selesa 14 mata untuk kekal di puncak tahta Ligue 1, walaupun rekod cemerlang tanpa kalah musim ini tercalar selepas seri 2-2 menentang Bordeaux, Ahad lalu.

Mereka akan berkunjung ke Strasbourg pada Rabu ini, dan arahan penangguhan perlawanan pada Sabtu ini akan memberikan lebih banyak masa untuk PSG bersedia mengharungi aksi terakhir Liga Juara-Juara, menentang Red Star Belgrade.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 10:07 PM