LELAKI yang memakai ‘jaket letupan kuning’ dan mengancam untuk meletupkan bom tangan di sebuah stesen minyak. FOTO AFP
LELAKI yang memakai ‘jaket letupan kuning’ dan mengancam untuk meletupkan bom tangan di sebuah stesen minyak. FOTO AFP
AFP

ANGERS: Seorang lelaki yang memakai ‘jaket letupan kuning’ dan mengancam untuk meletupkan bom tangan di sebuah stesen minyak menyerah diri kepada polis di barat Perancis semalam, kata pihak berkuasa tempatan.

Suspek berusia 45 tahun yang memakai ‘jaket kuning’, sama seperti kumpulan penunjuk perasaan harga minyak, mendedahkan peranti itu di sebuah tempat mencuci kereta berhampiran sebuah pusat beli belah di bandar Angers.

Dia menyerah diri pada kira-kira jam 10.40 malam (waktu tempatan) di tempat letak kereta pusat beli belah berkenaan selepas beberapa jam berbincang dengan polis, kata jabatan Maine-et-Loire.

“Dia menuntut supaya penunjuk perasaan ‘jaket kuning’ diterima di istana presiden, Elysee,” kata pendakwa raya tempatan Yves Gambert kepada AFP.

Penguasa tempatan, Bernard Gonzalez berkata situasi itu bukan rekaan kerana suspek memakai bahan letupan yang hidup di lehernya.

Peranti itu kini sedang diperiksa oleh pakar, kata Gonzalez.

Insiden berlaku di pusat beli belah Espace Anjou, berhampiran kawasan perhimpunan penunjuk perasaan ‘jaket kuning’ di Angers, minggu lalu.

Demonstrasi di seluruh negara itu diketuai pengundi luar bandar dan bandar kecil yang memakai ‘jaket kuning’.

Difahamkan, penunjuk perasaan sudah bosan dengan kenaikan harga minyak dan dasar Presiden Emmanuel Macron serta menolak pimpinan beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 1:47 PM