FELLAINI (tengah) ledak gol kemenangan United. FOTO/AFP
FELLAINI (tengah) ledak gol kemenangan United. FOTO/AFP
AFP

MANCHESTER: Jaringan pada minit terakhir Marouane Fellaini menyelamatkan Manchester United daripada dimalukan dalam saingan Liga Juara-Juara apabila menang tipis 1-0 ke atas juara Swiss, Young Boys di Old Trafford.

Kemenangan awal pagi tadi itu sudah cukup untuk membolehkan Red Devils mara ke pusingan 16 terbaik.

United berada di ambang kegagalan untuk meledak gol buat kali ketiga berturut-turut di saingan Eropah di laman sendiri, sebelum percubaan pemain Belgium itu menemui jaringan, seterusnya melegakan pengendali, Jose Mourinho.

Dalam aksi pagi tadi, United berdepan situasi cemas pada pertengahan babak kedua menerusi percubaan Ulisses Garcia, namun penjaga gol, David de Gea berjaya menafikan impian besar pasukan pelawat.

Mourinho membuat percaturan berisiko dengan meletakkan Paul Pogba dan Romelu Lukaku di bangku simpanan, manakala Alexis Sanchez tidak disenaraikan dalam skuad yang sebelum ini seri 0-0 dengan Crystal Palace, Sabtu lalu.

Namun juara Eropah tiga kali itu tetap mampu menjamin tempat ke pusingan kalah mati dan perlu berterima kasih kepada jaringan penyelamat Fellaini serta keputusan kemenangan 1-0 Juventus ke atas Valencia.

 

Mourinho mempertahankan keputusan mengenepikan Pogba dan Lukaku, dengan merujuk kepada desakan ramai bagi membolehkan Rashford disenaraikan dalam kesebelasan utama oleh beberapa media Inggeris.

Namun sebaik saja selepas lima minit permainan, jurulatih Portugis itu jelas kecewa dengan prestasi pemain berusia 21 tahun berkenaan.

Rashford cuba memanfaatkan hantaran Jesse Lingard, namun penyudah dilakukannya melepasi palang gol, biarpun hanya perlu menewaskan penjaga gol, David von Ballmoos.

Pemain tengah Brazil yang dibeli daripada Shakhtar Donetsk bernilai 50 juta pound (RM266 juta), Fred turut diberi peluang untuk beraksi selepas jarang diturunkan, bagi mengisi posisi ditinggalkan Pogba.

Fred hampir menjaringkan gol keduanya bersama United, namun percubaannya melepasi palang gol dalam perlawanan yang menyaksikan tuan rumah mempamerkan corak berbeza berbanding aksi sebelum ini.

Namun keghairahan United semakin menurun selepas gagal menembusi pertahanan juara Swiss, biarpun mereka pernah menewaskan pelawat 3-0 di Bern, September lalu - hasil dua jaringan Pogba.

Djibril Sow terlepas peluang berharga sebelum rehat babak pertama, manakala percubaan Kevin Mbabu juga tersasar ketika mereka melakukan serangan balas ke atas United yang tampak terdesak untuk memecahkan kubu lawan.

Mourinho akhirnya kurang sabar dengan prestasi pemainnya sebelum membawa masuk Pogba dan Lukaku daripada bangku simpanan pada suku terakhir permainan.

Dan, Fellaini akhirnya berjaya meredakan tekanan Mourinho dengan menjaringkan gol tunggal permainan pada minit ke-91.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 9:23 AM