LIONEL MESSI
LIONEL MESSI
Agensi

BUENOS AIRES: Argentina tidak akan tergesa-gesa menyenaraikan Lionel Messi untuk aksi antarabangsa sebaliknya membenarkan pemain itu terus ‘menelan’ sisa kekecewaan kempen Piala Dunia lalu.

Messi tidak beraksi bersama Albiceleste sejak tersingkir pada peringkat 16 terakhir di tangan pasukan juara, Perancis di Russia.

“Kami mempunyai yang terbaik di dunia (Messi) yang mampu menjadikan pasukan anda lebih bagus,” kata Presiden AFA Claudio Tapia ketika sidang akhbar, awal pagi tadi.

“Tetapi sekarang adalah masanya untuk dia menghabiskan sisa kekecewaan Piala Dunia dan tanpa ragu saya yakin dia akan meneruskannya.”

Messi yang menjaringkan 65 gol dalam 128 penampilan bersama Argentina mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa selepas tewas kepada Chile dalam aksi final Copa Amerika 2016 tetapi mengubah keputusan dan beraksi semula.

Dia muncul wira pasukan dalam kempen kelayakan Piala Dunia dengan menjaringkan hatrik pada aksi terakhir untuk menyingkirkan Ecuador dan layak ke Piala Dunia.

Messi bersama Argentina muncul naib juara di Brazil empat tahun lalu dan menggalas harapan tinggi untuk menjulang trofi utama pertamanya tetapi tidak menjadi kenyataan di Russia apabila tersingkir awal.

Pemenang lima kali Ballon d’Or winner itu terus menimbulkan tanda tanya mengenai masa depannya bersama pasukan kebangsaan tetapi Tapia yakin Messi akan kembali tahun depan.

“Saya belum lagi bercakap dengan Messi kerana ini bukan masanya tetapi saya tahu perasaannya terhadap jersi kebangsaan,” katanya.

Argentina yang dibimbing Lionel Scaloni akan menentang Mexico di Cordoba pada Jumaat ini dan sekali lagi di Mendoza minggu depan dalam aksi persahabatan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 8:13 AM