Penyerang Argentina, Lionel Messi meraihkan jaringan ketika saingan Copa America 2021. FOTO Agensi
Penyerang Argentina, Lionel Messi meraihkan jaringan ketika saingan Copa America 2021. FOTO Agensi
AFP

Barcelona: Barcelona mencapai persetujuan bersyarat dengan Lionel Messi bagi memastikan pemain veteran Argentina itu kekal di kelab Catalan untuk tempoh lima tahun lagi, tetapi dengan pengurangan gaji, menurut laporan media Sepanyol.

Messi pada awal bulan ini buat pertama kali merangkul trofi utama antarabangsa bersama Argentina apabila menewaskan pesaing mereka Brazil untuk memenangi Copa America 2021.

"Dia (Messi) akan menandatangani kontrak lima musim dengan klausa pelepasan sekitar 600 juta Euro (RM2.98 bilion)," menurut L'Esportiu.

"Pemain itu akan mengurangkan gajinya sebanyak 50 peratus. Kini ia bergantung kepada mahkamah untuk menilai perjanjian dan memberikan persetujuan. Apabila ia berlaku (dia) perjanjian akan berjalan secara rasmi," menurut akhbar sukan yang berpangkalan di Madrid, Marca.

Menurut kandungan surat itu, Messi, 34, akan menerima 20 juta Euro (RM99.3 juta) sebagai gaji permulaan musim depan bersama kelab Catalan itu, di mana dia memacu 10 kejuaraan liga begitu juga memenangi empat gelaran Liga Juara-Juara.

Musim lalu perbandingan yang sangat mengecewakan ketika kelab itu hanya berjaya merangkul Piala Raja Sepanyol dan tersingkir dalam kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Messi memberitahu pada musim panas lalu dia memikirkan untuk meninggalkan Barca sebagai pemain bebas berdasarkan klausa kontraknya sebelum bersetuju untuk melengkapkan musim akhir di kelab berkenaan selepas diugut untuk membawa perkara itu ke mahkamah.

Terdapat juga spekulasi bahawa Messi mungkin menandatangani kontrak dua tahun dan berpotensi menyertai saingan Major League Soccer, sekalipun sahabat dan bekas rakan sepasukan di Barca, Neymar berkata dia berbesar hati untuk bergandingan semula dengan penyerang Argentina itu di Paris Saint Germain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 10:12 AM