SUBAHAN tunggu laporan FIH. FOTO/NSTP
SUBAHAN tunggu laporan FIH. FOTO/NSTP
Saiful Affendy Sapran


KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan cuba membawa isu kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Kongres Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di New Delhi, esok.

Timbalan Presiden MHC, Datuk Dr S Shamala berkata, beliau akan menyuarakan perkara itu jika berkesempatan.

“MHC sudah menghantar surat rasmi kepada FIH dan kemudian Ketua Pegawai Eksekutif FIH (Thierry Weil) sudah membalasnya.

“Tapi jika ada masa yang sesuai, sudah tentu saya akan mengemukakan perkara ini. Saya akan maklumkan apa saja perkembangan selepas berakhir kongres nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

MHC sebelum ini mengemukakan rayuan kepada FIH supaya skuad hoki lelaki negara diberi tiket automatik ke Olimpik Tokyo selepas sekadar meraih pingat perak Sukan Asia Jakarta-Palembang apabila tewas kepada Jepun pada penentuan pingat emas.

Bagaimanapun peluang itu dilihat tipis selepas Weil dalam kenyataan balasnya menegaskan sukar untuk mengubah sistem kelayakan Sukan Olimpik yang ditentukan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dan bukannya badan induk dunia itu.

Namun Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya akan menunggu keputusan muktamad pada kongres FIH meskipun sedar peluang skuad hoki lelaki agak tipis.

Mengikut format FIH, sekiranya Jepun muncul juara Sukan Asia, slot ke temasya terbesar dunia itu akan dibawa ke kempen kelayakan Sukan Olimpik tahun depan sekali gus membuka peluang kepada pasukan benua lain untuk meraih tiket Olimpik.

Situasi itu disifatkan tidak adil kerana slot itu sewajarnya terus diberikan kepada naib juara Sukan Asia iaitu Malaysia dan pasukan wanita India yang turut tewas kepada Jepun pada aksi final.

Kempen kelayakan Olimpik bermula pada Pusingan Akhir Siri Hoki yang berlangsung dari 23 April hingga 1 Mei 2019 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dengan hanya dua pasukan terbaik mara ke Pusingan Akhir Kelayakan Olimpik hujung tahun depan, kejohanan terakhir sebelum layak beraksi di Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 6:04 PM