NASIB Kumar masih belum diketahui selepas FIH terus berdiam diri. -Foto fail
NASIB Kumar masih belum diketahui selepas FIH terus berdiam diri. -Foto fail
Saiful Affendy Sapran


KES POSITIF doping membabitkan penjaga gol utama skuad hoki lelaki negara, S Kumar dilihat masih belum ada kata putus selepas tempoh 21 hari yang dipinta Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk membuat keputusan berakhir hari ini.

Situasi terbaru itu menyebabkan Kumar masih menunggu apakah nasib yang diterimanya sesudah terlepas dua aksi antarabangsa bersama skuad kebangsaan iaitu Piala Sultan Azlan Shah serta Sukan Komanwel Gold Coast 2018 kerana digantung sementara.

Malah Kumar sendiri tidak mendapat maklumat terkini berhubung kes itu selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang sibutramine oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) pada Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu.

“Saya difahamkan dalam bulan ini (untuk buat keputusan) tapi tarikh (sesi pendengaran) belum tahu lagi,” katanya ringkas.

Kumar mengakui tiada apa yang boleh dilakukan selain perlu akur dan terus menunggu keputusan FIH.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal pula gagal dihubungi untuk mendapatkan reaksi sementara peguam yang mengendalikan kes itu, Jadadish Chandra enggan mengulas lanjut.

Subahan bulan lalu berkata, FIH memerlukan tempoh itu dalam membuat keputusan dengan dua kemungkinan bakal berlaku, iaitu badan induk itu terus menjatuhkan hukuman ke atas Kumar atau menetapkan tarikh bagi sesi pendengaran.

MHC berharap kes itu diselesaikan secepat mungkin bagi membolehkan Kumar kembali beraksi bersama skuad kebangsaan terutamanya untuk Sukan Asia Indonesia, Ogos depan yang disasarkan untuk meraih pingat emas sekali gus layak beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 7:15 PM