SUBAHAN Kamal ketika sidang media.
SUBAHAN Kamal ketika sidang media.
Saiful Affendy Sapran


KUALA LUMPUR: “Kami amat kecewa dan terpaksa terima keputusan ini.” Demikian nada kecewa Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal selepas rayuan pihaknya untuk menggunakan teknologi video rujukan (video referral) pada Pusingan Akhir Siri Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) bermula 26 April ini ditolak badan induk hoki dunia itu.

Jelas Subahan, tiada apa lagi yang boleh dilakukan oleh pihaknya selepas keputusan muktamad FIH itu yang pada pandangannya sangat pelik.

“Biasanya kalau negara tuan rumah tak mempunyai keupayaan menggunakan rujukan video barulah mereka akan maklumkan kepada FIH.

“Ini tidak, FIH selaku badan induk pula yang menolaknya sedangkan kita selaku tuan rumah sudah melakukan persiapan rapi dan ada keupayaan untuk menggunakan rujukan video.

“Kalau negara tuan rumah lain tak mampu menggunakan rujukan video itu terpulanglah kepada mereka. Kenapa kami yang mampu melakukannya dibabitkan sama?” katanya ketika dihubungi.

Subahan sekali lagi menegaskan, rujukan video bukan saja memberi kelebihan kepada skuad negara, malah negara lain yang mengambil bahagian juga mendapat manfaat sama.

“Kalau kejohanan seperti Piala Sultan Azlan Shah pun boleh menggunakan rujukan video apatah lagi Pusingan Akhir Siri FIH yang juga kempen kelayakan ke Sukan Olimpik (Tokyo 2020).

“Walaupun akur dengan keputusan ini, saya harap badan seperti AHF (Persekutuan Hoki Asia) serta negara lain yang menjadi tuan rumah dapat lebih tegas melakukan bantahan seperti kami,” katanya.

Rujukan video adalah teknologi untuk melihat ulang tayang semula insiden yang boleh dipohon pemain kepada pengadil dalam kawasan 23 meter dalam usaha untuk mendapatkan pukulan sudut penalti, penalti stroke dan mengesahkan atau membatalkan jaringan.

FIH menerusi kenyataan kepada rayuan MHC untuk menggunakan rujukan video berkata, rayuan berkenaan terpaksa ditolak bagi memberi keadilan kepada semua pasukan bertanding pada kejohanan itu nanti.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FIH, Thierry Weil, memandangkan tidak semua negara tuan rumah mempunyai sistem video referral, maka FIH memutuskan supaya ia tidak digunakan pada kejohanan kali ini.

Pada saingan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, skuad negara diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama Brazil, China dan Itali, manakala Kumpulan A menampilkan Austria, Belarus, Kanada dan Wales.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 8:01 AM