LEGENDA hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi. FOTO Hasriyasyah Sabudin
LEGENDA hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Saiful Affendy Sapran

 

MALAYSIA mempunyai kemampuan untuk menganjurkan Piala Dunia Hoki lelaki serta wanita edisi 2022 malah memang sudah tiba masanya untuk negara menganjurkan kejohanan berprestij itu.

Legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, beliau menyokong sepenuhnya cadangan yang dikemukakan olen Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) itu kerana dengan menganjurkan Piala Dunia, ia bakal memberi impak besar kepada Malaysia.

"Untuk pasukan lelaki, sememangnya kita sudah berada pada tahap untuk beraksi di Piala Dunia. Mungkin apabila turun beraksi selaku tuan rumah, ia akan memberi keputusan lebih baik kepada pasukan negara.

"Tapi bagi saya yang lebih penting ialah ia bakal memberi impak besar kepada skuad wanita. Sebab jika ia benar-benar menjadi kenyataan, maka skuad wanita akan membuat penampilan pertama di Piala Dunia.

"Walaupun layak atas kapasiti tuan rumah, sekurang-kurangnya mereka dapat merasai saingan di peringkat tertinggi dan membuka mata semua pihak.

"Apapun, memang sebenarnya sudah sampai masanya untuk kita anjurkan Piala Dunia selepas kali terakhir pada 2002," katanya.

Nada berbeza bagaimanapun dinyatakan oleh seorang lagi bekas pemain negara, Maninderjit Singh yang menegaskan MHC seharusnya memberi penekanan kepada perancangan dua hingga tiga tahun ini.

"Tak guna jika kita menganjurkan Piala Dunia 2022 tetapi tidak layak beraksi di Sukan Olimpik di Tokyo 2020.

"Sebab itu saya tegaskan misi untuk layak ke Sukan Olimpik perlu diberi tumpuan terlebih dulu.

"Selain itu, bajet yang ada seharusnya lebih diberi tumpuan kepada saingan domestik, iaitu Liga Hoki Malaysia yang ketika ini dilihat semakin suram apabila hanya beberapa pasukan saja bertanding.

"Bagaimanapun, tidak salah untuk kita membuat bidaan Piala Dunia 2022. Hanya seperti saya katakan tadi, utamakan dulu kempen kelayakan ke Sukan Olimpik serta penekanan untuk menaiktaraf saingan domestik," katanya.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal menerusi laporan Sukan NSTP hari ini berkata, pihaknya berminat untuk membida selaku tuan rumah Piala Dunia 2022 selepas Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menawarkan Malaysia untuk menjadi tuan rumah kepada Final Siri Hoki Dunia pada Jun tahun depan, iaitu kempen kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 2:51 PM