SERGIO GARCIA
SERGIO GARCIA
Reuters

SOTOGRANDE (Sepanyol): Pemain Sepanyol, Sergio Garcia menjuarai Andalucia Valderrama Masters buat tahun kedua berturut-turut sekali gus melonjakkan dirinya ke tangga ke-25 dalam ranking Race to Dubai, awal pagi tadi.

Garcia menutup tirai kejohanan dengan dua bawah par 69 pada minggu perlawanan yang berlangsung dalam keadaan cuaca buruk sehingga memaksa penganjur memendekkan saingan kepada 54 lubang.

Pemain berusia 38 tahun itu mencatat 68 pada pusingan pembukaan dan mendahului saingan dengan 64 sebelum menamatkan saingan dengan 12 ‘under’ untuk kejohanan itu.

Dia mempunyai kelebihan empat pukulan daripada pemain Ireland, Shane Lowry yang menamatkan saingan di tempat kedua.

“Ia menakjubkan apabila mampu meraih kemenangan di sini di Valderrama sebanyak tiga kali, ia seperti mimpi menjadi kenyataan,” kata Garcia yang juga meraih gelaran pada 2011.

Kemenangan itu melonjak dirinya dari tangga ke-41 ke 25 dalam kedudukan Race to Dubai.

“Sangat sukar. Lapangan golf ini amat mencabar, bermain di sana dalam keadaan yang kami alami di sepanjang minggu dan melakukan tiga pusingan di bawah par jelas amat bermakna buat saya.”

Lowry melakukan 66 pada pusingan final untuk menamatkan saingan di tanga kedua manakala pemain Finland, Mikko Korhonen yang ketinggalan dua pukulan berada di tangga ketiga.

Dengan kejohanan tidak dipertandingkan sejak 2012 sehingga 2016, Garcia pemain pertama menjuarai kejohanan tiga kali berturut-turut di Eropah sejak Colin Montgomerie memenangi Kejuaraan PGA dari 1998 hingga 2000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 10:19 AM