Vilamoura, Portugal: Padraig Harrington (gambar) menafikan peluang juara bertahan Andy Sullivan untuk menjuarai Masters Portugal semalam untuk gelaran Jelajah Eropah pertamanya dalam tempoh lapan tahun.

Juara kejohanan utama tiga kali berusia 45 tahun itu enggan tunduk kepada tekanan selepas menamatkan aksi bebas bogey dengan 65 pukulan untuk mengumpul 23 di bawah par dan mengekang pencabar England Sullivan menerusi satu pukulan.

Anders Hansen dan pemain Finland Mikko Korhonen yang menempah tiketnya selepas memulakan minggu ini di kedudukan ke-116 pada Race to Dubai terikat di tangga ketiga di Vilamoura.

“Ini kemenangan besar. Masters Portugal adalah kejohanan besar. Saya datang ke sini selama 10 tahun dan suka berada di sini,” kata Harrington, pemain veteran Ireland itu.

“Ramai orang Ireland berada di sini. Ia bagaikan rumah yang jauh dari kampung halaman, jadi seronok dapat memenangi kejohanan ini.”

Harrington yang berada di ranking ke-159 dunia sebelum kejohanan itu tetapi mungkin melonjak ke tangga ke-100 berkata: “Saya cuba menjadi agresif. Lapangan golf ini serasi dengan saya dan saya cuba mendapatkan birdie dalam setiap pin.

“Permainan jarak dekat saya menjadi minggu ini. Tidak kira bagaimana saya memukulnya, saya mampu menamatkan permainan dengan baik.”

Kemenangan itu membolehkan Harrington mengumpul 15 kemenangan dalam Jelajah Eropah dan berkongsi tempat ke-15 dalam kedudukan sepanjang zaman. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 11:18 AM