AKHIMULLAH ANUAR ESOOK
AKHIMULLAH ANUAR ESOOK
Naqib Nor Said


KUALA LUMPUR: Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) memainkan peranan penting di sebalik kejayaan skuad hoki remaja negara mencipta sejarah memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Belia 2018.

Apa tidaknya enam daripada sembilan pemain yang beraksi di Buenos Aires adalah bakat yang diasuh oleh SSTMI dengan dua lagi pemain terdiri daripada pelajar Sekolah Sukan Pahang (SSP), SMK Seberang Temerloh dan seorang dari SMK Bentara Luar.

SSTMI dan SSP adalah sekolah angkat di bawah program Thunderbolts - program yang dicetuskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak 11 tahun lalu yang menyediakan kepakaran jurulatih kepada sekolah itu.

Perkara itu diakui penyerang negara, Akhimullah Anuar Esook yang menyifatkan peranan penting dimainkan sekolahnya dan beberapa tenaga pengajar.

“Semua (pemain) memainkan peranan masing-masing dengan baik untuk sampai ke tahap ini.

“Tapi pujian juga harus diberikan kepada dua jurulatih saya di SSTMI, Wan Roslan (Wan Rahman) dan Zaidi Zainuddin serta guru yang mengesan bakat saya di sekolah rendah iaitu Fikri Harun.

“Mereka banyak membantu dan menyokong saya selain ibu bapa saya sendiri yang menjadi tulang belakang paling penting,” katanya.

Lebih manis pencapaian skuad hoki itu turut diiringi kejayaan Akhimullah muncul penjaring terbanyak temasya dengan 22 gol.

Akhimullah, 18, turut tidak ketinggalan memberi penghargaan kepada ketua jurulatih skuad remaja negara, Wallace Tan dan penolong jurulatih, Megat Azrafiq Megat Termizi memperkenalkan hoki 5 sebelah kepada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 5:20 PM