SYED Saddiq berucap pada Majlis Sesi Townhall bersama Agensi Permotoran di Kementerian Belia dan Sukan. -Foto BERNAMA
SYED Saddiq berucap pada Majlis Sesi Townhall bersama Agensi Permotoran di Kementerian Belia dan Sukan. -Foto BERNAMA
Fadhli Ishak


PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu komuniti sukan permotoran diberikan ruang lebih besar menyuarakan pendapat dengan meletakkan mereka dalam lembaga pengarah di seluruh trek di negara ini.

Syed Saddiq hari ini menganjurkan sebuah sesi taklimat dengan pelbagai entiti sukan permotoran dari peringkat akar umbi sehingga elit. Kira-kira 500 menyertai sesi berkenaan yang diadakan di Menara KBS, di sini.

Dia berkata, sesi pertemuan itu adalah satu langkah bagi mencipta atmosfera yang lebih inklusif dalam sukan berkenaan.

“Maklum balas yang kami terima hari ini amat bernilai kerana ia hadir daripada peringkat akar umbi,” kata Syed Saddiq ketika ditemui selepas sesi berkenaan.

“Satu perkara yang perlu dilihat adalah melantik anggota di peringkat akar umbi ini sebagai ahli lembaga di seluruh sirkit. Salah satunya adalah Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang berada di bawah bidang kuasa saya.

“Kami turut membincangkan mengenai sirkit lain, termasuk Sirkit Tangkak yang juga di bawah Kementerian Belia dan Sukan juga yang berada di bawah kendalian kerajaan negeri.

“Kami akan meminta pemilik trek untuk melakukan sesi taklimat kerana mereka mempunyai skil tersendiri dan juga kumpulan sokongan. Mereka boleh mendengar (input) untuk mereka sendiri dan mengambil tindakan.”

Dalam pada itu, Syed Saddiq menekankan untuk menjadikan sukan permotoran lebih mudah didekati dengan membantu golongan muda kekal selamat dan jauh daripada aktiviti tidak sihat di lebuh raya.

“Kami mahu mencipta satu industri yang mampan dan mengurangkan kos bagi pengamal sukan permotoran. Banyak sukan yang memerlukan kos besar tetapi apabila kamu mempunyai penaja dan pembabitan sektor korporat, maka kerajaan tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar. Ini adalah satu langkah ke depan.

RAZLAN RAZALI
RAZLAN RAZALI

“Saya sentiasa menekannya yang kita tak boleh melupakan komuniti B40 yang akhirnya menjadi ‘mat rempit’ kerana mereka tidak mempunyai alternatif lain.

“Mereka (belia) tidak memerlukan satu sen pun, mereka memerlukan perhatian, mempunyai platform terbaik dan tempat yang bagus untuk berlumba. Komuniti ini adalah yang saya amat titik beratkan kerana ia bukanlah berkaitan dengan duit, ia mengenai nyawa dan kematian.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, sirkit di bawah kendaliannya akan cuba membantu bagi menyelesaikan beberapa isu yang dibangkitkan pada sesi taklimat khusus yang akan diadakan mereka nanti.

“Ini kali pertama Menteri Belia dan Sukan melakukan perkara seperti ini dan maklum balas yang diterima amat bagus. Dua jam bagaimanapun tidak mencukupi untuk mendengar pendapat masing-masing,” kata Razlan.

“Kami akan melihat isu yang dibangkitkan hari ini dan cuba mencari jalan penyelesaiannya, saya percaya lebih 50 peratus isu dibangkitkan mampu diselesaikan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 8:10 PM