SYED Saddiq melayan soalan wartawan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini. — FOTO Owee Ah Chun
SYED Saddiq melayan soalan wartawan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini. — FOTO Owee Ah Chun
Azlan Muhammad Zain


CADANGAN Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk membida tuan rumah Sukan Asia 2030 mendapat reaksi positif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang bersedia untuk memperhalusinya.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan pihaknya bersikap terbuka terhadap cadangan menganjurkan temasya kedua terbesar dunia selepas Sukan Olimpik itu.

“Kami terbuka... kertas cadangan akan diberikan kepada KBS dalam tempoh terdekat, bukan saja Sukan Asia 2030 namun mungkin Sukan Komanwel 2026 atau 2030.

“Apabila saya sudah mendapatnya (kertas cadangan), ia akan dibangkitkan pada mesyuarat jemaah menteri untuk dibincangkan dengan lebih lanjut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat Persatuan Badminton Malaysia dengan KSB di Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya sama ada kerajaan bersedia membelanjakan ratusan juta ringgit bagi menganjurkan temasya itu, Syed Saddiq berkata, mereka sentiasa bersikap terbuka namun ia perlu diperhalusi.

STADIUM Nasional di Bukit Jalil menjadi gelanggang utama temasya sukan di negara ini. — FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
STADIUM Nasional di Bukit Jalil menjadi gelanggang utama temasya sukan di negara ini. — FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din

MOM semalam menyuarakan cadangan supaya Malaysia membida bagi menganjurkan Sukan Asia 2030 yang masih belum “berpunya” selepas edisi 2022 di Hangzhou, China disusuli Nagoya, Jepun pada 2026.

Bagaimanapun Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza menjelaskan mereka memerlukan sokongan kerajaan sebelum memulakan langkah ke arah itu.

Beliau menjelaskan Malaysia mempunyai kepakaran untuk menjayakannya selepas cemerlang menganjurkan Sukan Komanwel 1998 serta Sukan SEA 2017.

Beberapa negara dilaporkan turut menyuarakan minat untuk membida edisi 2030 termasuk India, Korea Selatan, Filipina, Thailand dan Uzbekistan.

Malaysia pernah membida untuk menganjurkan Sukan Asia 2006 namun anggota Majlis Olimpik Asia (OCA) memilih Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 6:00 PM