JUARA tiga gelaran Grand Slam, Stanislas Wawrinka. FOTO Agensi
JUARA tiga gelaran Grand Slam, Stanislas Wawrinka. FOTO Agensi
AFP

ST PETERSBURG, Russia: Juara tiga gelaran Grand Slam, Stanislas Wawrinka menempah tiket ke pusingan kedua Terbuka Saint Petersburg dengan kemenangan sukar dua set ke atas pemain Slovenia, Aljaz Bedene di sini awal pagi tadi.

Wawrinka, 33, yang hadir ke St Petersburg selepas mendapat tiket wildcard, menang 7-5, 7-6 (7/5) dalam tempoh satu jam 46 minit untuk meraih kemenangan ketiga ke atas Bedene dalam empat pertemuan.

“Saya amat gembira kembali ke sini,” kata Wawrinka di gelanggang selepas perlawanan. “Kali terakhir saya di sini dua tahun lalu apabila saya kalah pada aksi final.

“Sudah tentu saya gembira dengan kemenangan pertama di sini. Saya fikir ia satu tahap yang tinggi.”

Bintang Switzerland itu bergelut mendapatkan semula sentuhan lamanya sejak kembali ke Jelajah ATP selepas dua pembedahan di lutut kirinya setahun lalu dan dia ketinggalan 3-5 selepas dipatahkan servisnya pada awal set pertama.

Wawrinka menang Grand Slam pertamanya pada Terbuka Australia 2014 dan kemudian menokok gelaran Terbuka Perancis 2015 dan Terbuka AS 2016 dalam koleksi kabinet trofinya.

Bagi perlawanan merebut tempat ke pusingan lapan terakhir dia akan berdepan pilihan keempat dari Russia, Karen Khachanov, yang mendapat bye pada pusingan pertama.

Terdahulu, Martin Klizan dari Slovakia, yang memenangi kejuaraan di sini enam tahun lalu, menyingkirkan pemain Russia, Evgeny Donskoy 6-4, 6-4. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 1:02 PM