PEMAIN Liverpool, Mohamed Salah. FOTO AFP
PEMAIN Liverpool, Mohamed Salah. FOTO AFP
AFP

LIVERPOOL, England: Mohamed Salah lebih mencuri tumpuan berbanding Neymar dan Kylian Mbappe pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim lalu namun dengan dua bintang Paris Saint-Germain itu berkunjung ke Anfield awal pagi Rabu ini, pemain Mesir itu dilihat bergelut menandingi kemuncak penampilan sulungnya di Liverpool.

Salah gagal berada di tahap prestasi terbaiknya sejak penampilan terakhirnya di Liga Juara-Juara, empat bulan lalu.

Mei lalu, Salah berada di puncak kegemilangan apabila mengumpul 44 gol dalam kempen yang membawa Liverpool ke final Liga Juara-Juara dan memastikan mereka layak ke saingan musim ini.

Namun, dia hanya mampu bertahan selama 30 minit di Kiev sebelum dihimpit kecederaan bahu apabila bertembung dengan kapten Real Madrid, Sergio Ramos. Kelab gergasi Sepanyol itu menjulang trofi dengan kemenangan 3-1.

Insiden itu menyukarkan Salah dalam tempoh beberapa bulan selepas itu apabila kecergasannya tidak berada di tahap 100 peratus untuk mewakili Mesir pada Piala Dunia buat kali pertamanya sejak 28 tahun.

Tanpa pemain bintang mereka, The Pharaohs mudah dikalahkan Uruguay pada perlawanan pembukaan dan jaringannya ketika menentang Russia dan Arab Saudi tidak mampu mengekang Mesir daripada pulang lebih awal.

Salah juga berdepan konflik dengan Persekutuan Bolasepak Mesir mengenai penggunaan imejnya dan keputusan menganjurkan kem latihan mereka di Chechnya.

Bintang Mesir itu diletakkan di posisi canggung dalam satu gambar bersama Presiden Chechen, Ramzan Kadyrov yang dituduh melakukan pelanggaran hak asasi manusia.

Kemelut itu diterjemahkan di padang dengan Salah hanya meledak dua gol dalam lima perlawanan pertama Liverpool musim ini.

Bagaimanapun setakat ini, isu dihadapi Salah tidak mengganggu pasukan kendalian Juergen Klopp. Pelaburan yang dibuat pada musim panas lalu sudah membuahkan hasil di bawah pengendali dari Jerman itu dengan meraih lima kemenangan berturut-turut.

“Sudah tentu, adalah penting kami tidak memiliki hanya seorang penjaring gol,” kata Klopp selepas menang 2-1 ke atas Tottenham, Sabtu lalu.

“Masih terlalu awal. Lima perlawanan, menarik apabila kami memenangi semuanya, kami sudah meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 11:44 AM