NEYMAR (tengah) berang dilayangkan kad kuning ketika aksi bertemu El Savador. -Foto AFP
NEYMAR (tengah) berang dilayangkan kad kuning ketika aksi bertemu El Savador. -Foto AFP
Agensi

WASHINGTON: Neymar menganggap kad kuning diterimanya ketika kemenangan 5-0 Brazil ke atas El Salvador dalam aksi persahabatan semalam sebagai kurang hormat.

Penyerang Paris Saint-Germain itu menerima kad kuning dalam aksi separuh masa pertama di Stadium FedExField, Washington selepas diasak pertahanan lawan dalam kotak penalti. Dia kemudiannya dilayangkan kad kuning selepas sengaja menjatuhkan badan sekali gus tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil perlawanan.

“Saya tak tahu apa nak buat dengan hidup cara ini,” kata pemain berusia 26 tahun itu kepada wartawan. “Saya tak boleh tahan dengan hadangan seperti itu. Saya rasa ia perlu berakhir. Keputusan pengadil adalah kurang hormat bukan sahaja kepada saya tetapi rakan sepasukan.”

Neymar berang dengan pengadil Jair Marrufo dan mendakwa dia boleh menerima keputusan tidak memberikan penalti tetapi melayangkan kad kuning kepadanya adalah melampau.

“Beraksi dengan kad kuning adalah sukar,” kata Neymar. “Marrufo datang ke sini untuk mengendalikan perlawanan Brazil, sebuah pasukan hebat tetapi dia melakukan ini, saya rasa ia tidak betul.

“Jika dia tak mahu beri penalti tiada masalah tetapi kad itu tidak sepatutnya.”

Neymar menjaringkan gol pembukaan melalui sepakan penalti selepas empat minit perlawanan bermula dan Richarlison, Philippe Coutinho, Marquinhos turut mencipta jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 8:44 AM